BEKAS jurulatih Sarawak, Abdul Jalil Rambli, 59, mengakui ditawar oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) untuk mengemudi pasukan senior 2019 tahun lalu.

Bagaimanapun pakar lontar jarak jauh itu memilih pasukan junior, skuad Piala Presiden yang berpangkalan di Miri, sebagai gelanggang pertarungan dan destinasi latihan.

“Apabila mengetahui FAS ada misi dan visi untuk menggunakan khidmat pemain tempatan… saya pun terfikr, ia perlu bermula dengan pasukan junior sebagai asas pembentukan.

“Oleh itu, saya kata kepada mereka… biarlah saya ke bawah iaitu membimbing pasukan muda,” kata Jalil.

Sekarang ini jawatan ketua jurulatih skuad senior Sarawak masih kosong setelah jurulatih utama, Farhan Abdullah dan pembantunya, David Usop diketepikan Ahad lalu ekoran pencapaian teruk setelah mengharungi lima perlawanan.

FAS dikatakan dalam proses penilaian memilih calon yang kemungkinan besar dari Semenanjung atau juga asing. Jalil dan jurulatih muda, Safri Amit merupakan antara jurulatih tempatan yang dikaitkan dengan jawatan ‘kerusi panas’ itu.

Bagaimanapun kedua-duanya memberikan komitmen terhadap pasukan muda. Safri merupakan jurulatuh skuad belia Sarawak.

Menurut Jalil, fokus perlu diberikan kepada pasukan Bawah 19 Tahun (B-19) dan Bawah 21 Tahun (B-21).

“Membimbing pasukan muda adalah lebih kepada latihan…banyak benda perlu dilakukan secara terperinci.

“Saya sudah hampir 15 tahun di Semenanjung, saya nampak ada jurang antara pemain muda kita dan pemain muda di sana,” katanya.

“Saya percaya dengan adanya bimbingan yang baik dan betul dalam tempoh tiga tahun, mereka boleh menjadi pemain yang bagus,” ujar Jalil.

“Sebelum ini kita sering bercakap mengapa tidak ketengahkan beberapa pemain muda ke dalam skuad senior? Masalahnya mereka belum mampu setanding pemain senior. Saya pernah bercakap hal ini dengan Robert Alberts (bekas jurulatih Sarawak).

“Jadi kita perlu beri perhatian yang sewajarnya kepada kumpulan pemain ini. Kita sebenarnya mempunyai beberapa pemain muda yang bagus…cuma mereka tidak terdedah ke peringkat saingan tinggi,” kata bekas pengulas sukan Astro Arena itu.

Jalil mengakui seronok membimbing pasukan muda bersama tiga pembantu, Pengiran Bala, Abu Bakar Amran dan bekas penjaga gol Sarawak/Malaysia, Jahar Nor.

PENGLIBATAN JALIL DALAM PASUKAN
1. Sebagai pemain (1988-1998)
2. Jurulatih Sarawak (1999-2003)
3. Jurulatih Sarawak (2005-2006)
4. Jurulatih PDRM (2006)
5. Jurulatih Kelab MOF (2015)
6. Jurulatih skuad Presiden (2019)