Kes jangkitan seksual (STI) seperti gonorea, sifilis dan HIV/Aids khususnya dalam kalangan wanita di Sarawak dilaporkan semakin membimbangkan berikutan peningkatan kes yang direkodkan Jabatan Kesihatan negeri.

Angka yang terbabit memang menggerunkan dan semua pihak tidak harus mengambil mudah akan isu ini. Bayangkan, dalam tempoh 2011 hingga 2018, kes gonorea meningkat sebanyak 11 peratus, sifilis meningkat 20 peratus, manakala HIV pula di tahap paling membimbangkan apabila mencecah 133 peratus di negeri ini.

Sepanjang tahun 2018 sahaja, sebanyak 665 kes gonorea dan 453 kes sifilis direkodkan manakala kes HIV/AIDS pula merekodkan sebanyak 154 kes.

Adakah mahu melihat angka ini terus melonjak?

Jangkitan penyakit kelamin (STI) dalam kalangan suri rumah kini menunjukkan trend yang membimbangkan berbanding beberapa tahun lepas.

Gambar hiasan

Berbanding dahulu, biasanya yang dijangkiti oleh STI ialah golongan tertentu, iaitu berkaitan dengan hubungan seksual dengan lebih daripada satu pasangan tetapi bukan suri rumah. Kita wajar berasa risau dengan trend baharu ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah semalam dilaporkan berkata, sebahagian besar kes itu membabitkan wanita yang sudah berkahwin yang berusia antara 20 hingga 29 tahun.

Mengapakah berlakunya peningkatan yang ketara penghidap penyakit itu? Apakah kesannya terhadap kesihatan, kesuburan dan masa depan mereka ini?

Kita tidak boleh membiarkan gejala ini terus berlaku?

Sikap memandang remeh kesan buruk STI, dikhuatiri meningkatkan risiko penyakit STI menular secara senyap.

Kehidupan moden, dibantu oleh media sosial dan internet menyebabkan mereka terdedah kepada bahan-bahan lucah yang begitu mudah diperoleh.

Ada yang terpengaruh dan sukar mengekang keghairahan selepas menonton video lucah dan seumpamanya, lalu mencari jalan keluar di luar rumah.

Yang jelas, peningkatan kes berpunca daripada kurangnya kesedaran pasangan mengenai penyakit berkenaan yang dibawa oleh suami yang dipercayai melakukan hubungan seks dengan wanita lain.

Hubungan seks berkenaan, termasuk dengan kupu-kupu malam menyebabkan mereka membawa balik penyakit itu ke rumah. Yang menjadi mangsa ialah isteri.

Kita perlu memandang serius gejala ini. Kita tidak boleh membiarkannya kerana yang menjadi mangsa ialah wanita atau suri rumah. Suami yang terbabit dengan wanita lain, termasuk pelacur, tidak sedar bahawa yang menanggung beban derita ialah isteri.

Mereka mengadakan hubungan dengan isteri tanpa menyedari atau tanpa mempedulikan bahawa mereka sebenarnya membawa penyakit itu daripada wanita lain.

Ya, suami mungkin malu untuk mendedahkan penyakit yang dihidapinya kerana ia membabitkan bahagian alat sulit. Namun perbuatan menyembunyikan penyakit itu akan menyebabkan wanita iaitu isterinya turut menderita akibat penyakit.

Justeru, kempen kesedaran khususnya kepada pasangan yang baru berkahwin perlu diperhebatkan bagi mengelak penyakit berkenaan daripada menjangkiti isteri. Sesungguhnya, cara paling berkesan untuk menangani masalah ini ialah meningkatkan kesedaran kalangan pasangan itu sendiri.

Kementerian terbabit melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) perlu terus memberi fokus menangani isu sosial berkenaan melalui pendekatan yang lebih holistik. Bantuan dan kerjasama pemegang taruh dan semua pihak perlu dilakukan bagi memastikan keberkesanannya.

Ini bukan perkara enteng dan mudah kerana ramai kalangan pesakit malu untuk tampil. Justeru, pihak MPS perlu mengadakan program seperti mewujudkan kesedaran mengenai mencegah penyakit terbabit.

Pasangan atau suami yang disahkan menghidap jangkitan berkenaan diharap bukan sahaja mendapatkan rawatan, tetapi melindungi pasangan masing-masing bagi mengelakkan STI berjangkit kepada isteri mereka.