Tuesday, August 16, 2022

UCA akan lonjakkan ekonomi Sarawak

Secara Rawak

SIBU: Persatuan Cina Bersatu (UCA) Sibu dijangka bakal menyumbang serta melonjakkan ekonomi negeri Sarawak pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Openg berkata, peranan pihak UCA Sibu ini juga disifatkan satu peranan yang penting dalam usaha melonjakkan sektor ekonomi khasnya di bahagian Sibu sekaligus mengubah tren ekonomi Sarawak ke arah yang lebih tinggi.

Sehubungan itu beliau menegaskan, bahawa peranan kerajaan Sarawak dalam membantu komuniti Cina negeri itu adalah menyediakan logistik yang sempurna dengan menambahbaik segala infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya, bekalan air dan elektrik, jaringan internet serta perhubungan jambatan.

Justeru, kata beliau lagi pembangunan teknologi yang semakin pesat memaksa kerajaan negeri melakukan perubahan dengan menekankan penggunaan digital sebagai kaedah baharu dalam menjalankan perniagaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Sambungan UCA di sini, petang tadi.

Dalam perkara lain, beliau juga mahu bakat golongan muda dalam bidang perniagaan turut diberi perhatian yang mendalam kerana golongan ini sememangnya sangat mudah menyerap serta menerima segala perubahan terkini.

Ujarnya lagi kerajaan Sarawak akan terus memainkan peranannya dalam menjayakan segala agenda yang melibatkan pembangunan ekonomi dan yakin penglibatan serta bakat golongan muda akan menjadikan ekonomi Sarawak dipandang tinggi di mata dunia.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru