Wednesday, August 17, 2022

Pakar kopi seluruh dunia akan berkumpul di Sarawak sempena Borneo Coffee Symposium

Secara Rawak

KUCHING: Beberapa pakar kopi di seluruh dunia akan berkumpul di Sarawak pada 6 dan 7 April ini bersempena Borneo Coffee Symposium.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian Sarawak YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak akan menjadi destinasi bagi pakar-pakar kopi dalam industri kopi di seluruh dunia.

“Sarawak berpotensi menjadi pengeluar kopi utama di Malaysia dengan bentuk muka bumi dan cuaca yang sesuai dengan penanaman kopi,” katanya semasa sidang media sempena Borneo Coffee Symposium di Earthling Cofee Workshop, baru-baru ini.

Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) akan menganjurkan Borneo Coffee Symposium yang akan diadakan pada 6 dan 7 April di Bangunan Mahkamah Lama, Kuching.

Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata pada tahun ini dijangkakan sebanyak 111 hektar kawasan diperuntukan bagi penanaman kopi di Sarawak.

“Pada tahun 2018, Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) telah memperuntukan sebanyak RM2,150,000 bagi penanaman kopi.

“Hasilnya, Sarawak telah menghasilkan 14.6 tan metrik kopi dengan keluasan ladang sebanyak 267.6 hektar di seluruh Sarawak.

“Jumlah ini bagaimanapun telah dinaikkan kepada RM3,150,000 pada tahun ini bagi keperluan penanaman kopi di Kuching, Mukah, Miri dan Limbang,” tambahnya.

Secara keseluruhan, jumlah penghasilan kopi di Sarawak meningkat setiap tahun.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru