SIBU: Kekayaan sumber semula jadi seperti kayu balak atau pertanian di Sibu disifatkan sebagai satu peluang perniagaan yang besar buat pengusaha di bahagian berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg berkata, aktiviti eksploitasi tanpa mengabaikan usaha pemuliharaan dijangka dapat mengubah ekonomi di Sarawak, walaupun hanya dikenali pemain baharu dalam ekonomi dunia.

Menurutnya lagi, Sarawak mempunyai tanah yang subur dimana ia langsung tidak akan mencacatkan usaha pemuliharaan penanaman kayu balak atau penyimpanan semula hutan.

Mengulas lanjut, penanaman semula kayu atau pokok-pokok di Sarawak hanya memakan masa selama 6 hingga 7 tahun berbanding di negara Finland yang memakan masa sehingga 70 tahun untuk pokok-pokok yang ditanam boleh ditebang semula.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Dialog Ruang Perdagangan dan Industri Sarawak (SCCI) di sini, pagi tadi.

Sehubungan itu, kerajaan Sarawak tambahnya akan terus fokus membangunkan logistik seperti jalan raya pesisir yang dilihat dapat menyingkatkan perjalanan dari satu tempat ke satu.

Sebagai contoh, dengan terbinanya Jambatan Batang Samarahan dan Jambatan Batang Sadong, pengusaha dapat menjimatkan masa sekurang-kurangnya 3 jam perjalanan jika dibandingkan penggunaan jalan utama.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli 1 sangat komited untuk meneruskan pembinaan Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Igan yang sebelum ini dibatalkan oleh kerajaan pusat dengan menggunakan dana kerajaan negeri.

Projek seperti ini katanya sangat memberi manfaat kepada rakyat khususnya rakyat luar bandar dalam memajukan ekonomi mereka.