ISKANDAR PUTERI:  Seorang remaja perempuan di sini mengadakan hubungan seks dengan lima lelaki sejak tahun lalu.

Lebam pada leher  remaja itu membongkar rahsia perbuatan terkutuk  yang dilakukannya.

Remaja berusia 16 tahun itu, lapor Kosmo membuat laporan polis selepas disuruh ibunya sebaik mengetahui terdapat gigitan cinta di lehernya dan mengetahui cerita sebenar.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, susulan laporan yang diterima pada pukul 11.30 malam tadi, lima suspek lelaki berusia antara 16 hingga 20 tahun ditahan sepasukan anggota Balai Polis Kangkar Pulai, bagi membantu siasatan.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pelajar sekolah menengah, seorang penganggur dan seorang penjual air mineral.

“Hasil siasatan awal mendapati remaja perempuan itu sudah mula melakukan hubungan seks dengan semua suspek selepas tamat peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada Oktober tahun lalu,” lapor Kosmo.

“Tahun lalu, seorang suspek yang juga kawan lelaki remaja berkenaan bersama dua sepupunya mengambil dan menghantarnya pulang ke rumah di Kangkar Pulai di sini,” katanya.

Dzhulkhairi berkata, mereka mengajak remaja terbabit melakukan hubungan seks dan perbuatan itu berlaku dengan kerelaan hati remaja tersebut.

Difahamkan, remaja perempuan yang juga anak tunggal itu hanya tinggal bersama ibunya selepas kematian ayah dan kejadian terbabit dilakukan di rumahnya sendiri ketika ibunya tiada di rumah.

Menurut Dzhulkhairi, lima suspek lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis.

Katanya, ketika ditahan, tiga telefon bimbit turut dirampas.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Gambar hiasan