Pada awal Disember lalu stesen TV AstroAwani  telah menghubungi saya, meminta komen tentang langkah parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu melebarkan sayapnya ke Sarawak.

Jawapan saya ketika itu, ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  mempunyai peluang untuk bertapak di Sarawak yang mempunyai penduduk hampir tiga juta itu, namun akan berdepan laluan sukar.

Saya jelaskan, faktor kredibiliti Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selain Bersatu yang berada di pihak kerajaan  ialah satu kelebihan buat parti itu.

“Parti politik Sarawak tidak boleh pandang enteng kehadiran Bersatu kerana, atas beberapa sebab, ia dipimpin Perdana Menteri yang berwibawa dan berpengaruh.

“Apabila di pihak kerajaan, Bersatu mempunyai kekuatan sumber, kewangan kukuh yang membolehkan parti itu menggerakkan jentera akar umbi dalam meluaskan pengaruh di luar bandar,” kata saya kepada Astro Awani.

Namun, walau Bersatu berada di pihak kerajaan, ia tidak menjamin parti bayangan UMNO itu mempunyai peluang cerah bertapak di negeri ini.

“Ia tidak semudah berjalan di taman, kerana Bersatu akan berdepan dengan seribu satu cabaran. Sarawak ini ada terlalu banyak parti. Bersatu kena tahu kaum mana yang lebih responsif kepada mereka,”  kata saya lagi.

Bersatu  baru diterima masuk menyertai Pakatan Harapan (PH) Sarawak seperti diumumkan Pengerusi PH negeri, Chong Chien Jen yang juga Pengerusi DAP Sarawak. PH ketika ini dianggotai PKR, DAP dan Amanah.

Diumumkan juga bahawa Bersatu akan melantik Pengerusinya di Sarawak bagi menerajui parti itu

Siapakah yang bakal menjadi pengerusinya? Adakah benar seorang bekas Ahli Parlimen akan dilantik oleh Dr Mahathir sebagai pengerusinya?

Pengerusi Penaja Bersatu Sarawak, Datuk Johan Mohamad Disember lalu dipetik berkata, pembabitan `anak’ Sarawak dalam memastikan hala tuju baharu negeri ini amat penting untuk pembangunan menyeluruh.

Pada awal Disember lalu, Bersatu Sarawak dikatakan mempunyai seramai 30,000 ahli daripada semua 31 Parlimen. Johan berkata, tumpuan utama parti itu sekarang adalah untuk mendaftarkan lebih ramai ahli menyertai parti berkenaan supaya dapat memperjuang agenda Bersatu.

Katanya, parti itu ingin memastikan perjuangan mereka di Sarawak diwakili anak Sarawak sendiri bagi memudahkan mereka membawa agenda pembangunan baharu untuk negeri ini.

Bagaimana harapan Bersatu di Sarawak? Mampukah parti  itu mendapat tempat di hati rakyat pelbagai kaum di di negeri ini? Atau ia akan menerima nasib yang sama seperti PAS dan Amanah?

Siapakah yang bakal memberi ruang kepada Bersatu dari segi agihan kerusi? Ketika ini, DAP menguasai tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri manakala PKR menguasai tiga kerusi daripada 82 kerusi DUN.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika itu menganggap, percaturan Bersatu  dalam melebarkan sayapnya ke Sarawak sebagai langkah sia-sia kerana didakwa masih dangkal dalam resam politik tempatan di negeri itu.

Katanya, rakyat Sarawak mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih hala tuju politik dan pentadbiran kerajaan.

“Kami yakin pribumi Sarawak akan tolak kehadiran Bersatu kerana mereka lebih cenderung kepada parti yang menjaga kepentingan orang tempatan secara khusus,” katanya seperti dilaporkan media awal Disember lalu.

Kalau rakyat Sabah pun tidak begitu gembira dengan langkah Bersatu masuk ke negeri itu, apa pula yang menyebabkan rakyat Sarawak mempunyai pendirian berlainan?

Menurut komen pembaca dalam portal terkemuka mengenai langkah tersebut, rata-rata adalah negatif. Antaranya, Bersatu ialah jelmaan semula UMNO,  pemimpin dan ahli Bersatu adalah sama dengan UMNO.

Selain itu dalam komen berkenaan, kerajaan persekutuan akan terus memecahkan Malaysia Timur,  Bersatu di Sabah dan Sarawak tidak akan bertahan, dan penduduk di Sabah dan Sarawak tidak akan menyokong Bersatu.

Apakah keistimewaan dan kelebihan Bersatu berbanding UMNO?  UMNO begitu sukar untuk bertapak di Sarawak kerana DNA-nya yang tidak serasi dengan cita rasa rakyat Sarawak.

Persoalan ini relevan kerana,  pemimpin utama Bersatu ketika ini adalah bekas pemimpin UMNO, seperti Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Keadaan ini dengan sendirinya menyukarkan Bersatu disebabkan persepsi, imej dan reputasi UMNO yang tidak positif dalam kalangan penduduk dan pengundi di Sarawak.

Yang pasti, Bersatu pasti sukar mendapat tempat dalam kalangan bukan Islam di negeri ini. Bagi mereka Bersatu ialah parti Melayu dan Islam yang berpangkalan di Semenanjung, malah sebahagian mereka beranggapan Bersatu sinonim dengan UMNO, dari segi semangat dan ideologi perjuangannya.

Adakah Orang Ulu, kaum Iban dan Bidayuh akan menerima Bersatu dengan tangan terbuka? Adakah pengundi Melayu dan Melanau bersedia menerima Bersatu?

Bersatu  dijangka akan bertanding di kawasan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sebagai parti yang baru bertapak,  Bersatu perlu mencari pemimpin terbaik di peringkat negeri dan cawangan, serta menampilkan calon yang mampu menang dalam pilihan raya akan datang.

Hakikatnya, laluan yang bakal diharungi oleh parti dari Semenanjung itu adalah berliku dan sukar. Bukti penerimaannya adalah memenangi kerusi dalam pilihan raya negeri ke-12.