JAKARTA: Tiga pelajar sekolah ditemui mati kesejukan setelah dipercayai mengalami “hypothermia” di Gunung Tampomas, Jawa Barat.

Mayat ketiga-tiga remaja yang hanya berpakaian baju lengan pendek dan seluar panjang itu ditemui dalam keadaan merengkuk kesejukan oleh beberapa pendaki lain pada pagi semalam, yang kemudian melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Hubungan Masyarakat Badan Nasional dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) Kabupaten Bandung, Joshua Banjarnahor dipetik media tempatan berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan merengkuk kesejukan dan pakaian mereka dalam keadaan basah akibat terkena hujan.

“Ketiga-tiga mangsa dievakuasi dari lokasi mereka ditemui berdekatan Pos 4 Gunung Tampomas di ketinggian 1,040 meter dan tiba di Rumah Sakit Sumedang pukul 6.00 petang semalam (Ahad).

“Ketiga-tiga pelajar lelaki itu, Ferdi Firmansyah 13, Lucky Parikesit ,13, dan Agip Trisakti ,15, berasal dari Indramayu, dipercayai mendaki gunung itu pada pagi Sabtu,” katanya.

Semua mangsa didapati mendaki tanpa membawa kelengkapan pendakian seperti jaket atau baju panas serta peralatan keperluan lain, dan dipercayai mengalami hypothermia akibat suhu dingin, angin kencang dan hujan yang berlaku pada malam Sabtu itu.

Gunung Tampomas berketinggian 1,684 meter adalah gunung berapi yang terletak di utara Kota Sumedang, Jawa Barat, popular dalam kalangan pendaki gunung, yang terkenal dengan keindahan pemandangan alam semulajadinya.

Suhu di puncak gunung itu pada waktu malam adalah 13 darjah celcius dan boleh mencecah sehingga 0 darjah celcius ketika ini.– BERNAMA

Foto: Facebook