Tidak mengejutkan bahawa Pakatan Harapan tewas dalam pilihan raya kecil DUn Semenyih.

Bagi pemerhati dan rakyat, memang wajar calonnya tewas.

Punca utamanya, PH gagal meredakan kesakitan dan penderitaan rakyat di sebalik janji melangit dan menggunung menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.

Apa yang tidak dijanjikan oleh PH dalam manifestonya?

Kecuali bintang dan bulan!

Memang, membuat janji itu mudah, hanya gunakan air liur. Tetapi mengotakannya bukan mudah.

Mengkritik ketika berada di pihak pembangkang mudah sekali.

Tetapi, tentu berlainan apabila sudah memerintah.

Kenyataan bahawa keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, satu mesej untuk bersama mendengar apakah isu-isu yang mesti dipertimbangkan dengan lebih mendalam adalah benar.

Itu kenyataan berani Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail susulan kekalahan calon PH dalam pilihan raya itu.

Kekalahan itu satu pukulan kepada PH yang banyak mendabik dada sebelum ini.

PH begitu taasub dengan tindakan menyerang BN tanpa menyedari bahawa ia kini ialah kerajaan.

Sebagai kerajaan rakyat mahu masalah mereka diselesaikan, bukannya asyik membangkitkan kelemahan kerajaan terdahulu.

Wan Azizah berkata perlu diambil iktibar dalam apa-apa yang ingin dilakukan sama ada dalam pilihan raya kecil atau besar.

“Kita ada sistem demokrasi, kita ada pilihan dan kami mahukan rakyat tahu kami cuba sedaya upaya untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 Parlimen Port Dickson di PD Waterfront malam tadi.

BN berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Kekalahan PH sebahagiannya bepunca daripada kegagalannya menunaikan janji dalam manifesto PRU-14.

Juga, disebabkan kegagalannya meredakan masalah rakyat.

Kegagalannya menurunkan harga barang dan kos sara hidup memburukkan keadaan di sebalik janjinya bahawa hantu dan ibu segala masalah ialah GST.

Adakah harga barang dan kos sara hidup sudah jatuh selepas SST diperkenalkan?

Kemenangan berkenaan ialah manifestasi protes para pengundi di Semenyih dan usaha jentera parti yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan calonnya Zakaria Hanafi.

Ia merupakan manifestasi rasa muak dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap PH.
PH kalah satu demi satu. Dan mungkin akan kalah lagi di Rantau.

Mahu apa lagi PH? Ini masa untuk bertindak dan menunaikan janji. Bukan masa untuk mencari dan memberi sejuta alasan.

Anda kini sudah diberi kuasa oleh rakyat untuk menurunkan harga barang.

Mengurangkan kos sara hidup, dan mengelak daripada salah guna kuasa dan rasuah.

Lakukannya. Kalau tidak PH akan tewas lagi di Rantau.