SHAH ALAM: Johor Darul Ta’zim (JDT) merampas kembali kedudukan Liga Super daripada Kedah selepas membenam Selangor 4-2 di Stadium Shah Alam, Jumaat malam.

Kemenangan keempat itu daripada lima perlawanan liga setakat ini, membantu skuad Harimau Selatan berada di tangga teratas dengan 13 mata, kelebihan tiga mata dengan pencabar terdekat Kedah, manakala Selangor di tangga ke-10 dengan tiga mata.

Bagaimanapun, Kedah kembali menerajui liga seandainya menewaskan PKNS FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pada aksi pada Jumaat, skuad Gergasi Merah dikejutkan dengan jaringan awal Diogo Luis Santo pada minit ketujuh, sebelum penyerang import dari Brazil itu menggandakan jaringan pada minit ke-14 di hadapan lebih 21,000 penyokong.

Tersentap dengan jaringan itu, Selangor berjaya mengurang defisit menerusi pemain import dari Brazil, Endrick Dos Santo pada minit ke-33, namun JDT meledak satu lagi gol menerusi pemain import dari Argentina, Gabriel Cabrera pada minit ke-41.

Skuad kendalian B. Sathianathan sekali lagi merapatkan jurang menerusi kapten pasukan, Rufino Segovia pada masa tambahan separuh akhir pertama (45+2), tetapi pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez memastikan skuad kendalian Benjamin Mora itu menang selesa menerusi jaringan pada minit ke-68.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Liga Super, Terengganu mengikat Perak 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu.

Perak terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Brazil, Wander Luiz pada minit ke-71 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti pemain import dari United Kingdom, Lee Tuck pada minit ke-90.

Keputusan itu menyaksikan Terengganu berada di tempat keenam dengan enam mata selepas lima perlawanan, manakala Perak berada di kedudukan kelapan dengan tiga mata selepas empat perlawanan.

Dalam satu-satunya aksi Liga Premier di antara Pulau Pinang dan UiTM FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, pasukan tuan rumah gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2.

Pasukan pelawat membuka jaringan menerusi pemain import dari Senegal, Robert Waly Lopez Mendy pada minit ke-39, namun jaringan sendiri pemain import dari Montenegro, Zarco Korac dua minit kemudian menyebabkan kedudukan terikat sebelum UiTM FC mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Robert pada ke-85.