KUCHING: Bekas calon Parlimen Barisan Nasional daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Parlimen Lubok Antu, Robert Pasang Alam meninggal dunia awal pagi tadi.

Robert, 52 tahun, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 1.00 pagi tadi di Hospital Umum Sarawak.

Robert merupakan antara muka baharu yang ditampilkan Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dan beliau menggantikan penyandang, Datuk William Nyalau Badak.

Dilahirkan di Rumah San Panjai, Lubok Antu, Robert kemudian mengahwini Jeniah Aja dari Skarok, Lubok Antu sebelum dikurniakan dua anak perempuan.

Kedua-dua anaknya kemudian berjaya menjadi jurutera.

Mula terlibat dalam bidang perundangan pada 1993, Robert pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Majistret, Penolong Pendakwa Raya dan Peguam Kanan Persekutuan.

Malah beliau menduduki jawatan yang tinggi di Pejabat Peguam Negara di Sabah sebagai Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah sebelum melepaskan jawatan untuk bertanding dalam PRU14.

Dalam pilihan raya tersebut, Robert berhadapan saingan tiga penjuru sebelum tewas kepada calon Bebas yang juga bekas Ketua Cawangan Parti Rakyat Sarawak di Pujut, Jugah Muyang, dengan majoriti 1,059 undi.