KUCHING: Seorang wanita mengandung terpaksa dikejarkan ke Zon Merah, Hospital Umum Sarawak (HUS), selepas ambulans yang membawanya terbalik, setelah dirempuh sebuah SUV di sini, pagi tadi.

Menurut saksi, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, ketika wanita berkenaan sedang dikejarkan ke HUS dari Kota Samarahan.

“Ketika kebanyakan kereta di hadapannya berhenti untuk memberi ruang kecemasan kepada ambulans tersebut, kenderaan SUV dari Jalan Green bergerak laju dari lorong paling kiri sebelum merempuh ambulans berkenaan.

“Rempuhan bahagian tepi itu menyebabkan ambulans tersebut terbalik sebelum dihentikan pembahagi jalan.

Wanita malang yang berusia 40-an dari Kampung Nakong, Samarahan tersebut kemudian segera dikejarkan ke HUS oleh orang ramai bersama-sama pemandu dan pembantu perubatan.

Kesemua mangsa dilaporkan stabil.