Thursday, June 30, 2022

Kastam tumpas kontena rokok seludup, nilai duti RM8.6j di Pelabuhan Baram

Secara Rawak

MIRI: Curiga akan sebuah syarikat yang diragui kewujudannya membawa kepada kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan satu sindiket yang cuba menyeludup dua kontena rokok putih ke negeri ini pada Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, kejayaan itu diperoleh Bahagian Penguatkuasaan jabatan tersebut hasil maklumat awam dan risikan tepat.

“Kita dimaklumkan terdapat kontena yang diimport dari Vietnam, yang manifest importnya telah diikrar sebagai ‘Dried Rice Noodle’ untuk dibawa masuk ke negeri ini melalui Pelabuhan Bintulu, sebelum dipindah ke kapal bagi tujuan dibawa ke Miri.

“Kita kemudian telah mengatur gerak sepasukan anggota penguat kuasa JDKM Bintulu dan Miri ke pelabuhan tersebut untuk pemeriksaan rapi.

Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena tersebut katanya, telah menjumpai sejumlah 71,750 karton rokok putih pelbagai jenama, yang bersamaan 13,036,000 batang rokok.

“Rampasan ini melibatkan duti dan cukai sebanyak RM8.6 juta,” tambahnya lagi.

Kes ujarnya, disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Pesalah yang berjaya disabit, akan didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar; dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Halimah turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak kastam jika menyedari berlakunya sebarang aktiviti penyeludupan, termasuk dadah dan juga lain-lain barang larangan seperti rokok, minuman keras dan mercun.

Tindakan ini boleh dilakukan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat JKDM Sarawak 082-472133 atau menghubungi mana-mana pejabat Kastam berhampiran.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru