Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah menyebabkan timbul rasa ketidakpuasan hati kepada kepimpinan parti Warisan yang menerajui Kerajaan Negeri Sabah. Ketua Menteri Sabah merangkap presiden Warisan sendiri mengakui tidak dapat melawan kehendak dan keputusan parti Bersatu ke Sabah. Jelas ini merupakan mungkir janji politik kepimpinan Bersatu terhadap Shafei Apdal selaku pemimpin tertinggi parti Warisan.

Namun parti Warisan terpaksa akur kerana parti Warisan bukanlah parti besar atau parti nasional yang mampu menggugah Putrajaya.Ibarat peribahasa “kukur apa pada kukur, nyiur jugalah yang akan binasa” walaupun semua orang tahu Tun Mahathir paling dominan dan pasca Mahathir sebaliknya akan berlaku dalam politik Bersatu.

Parti Warisan sendiri bukanlah dalam komponen Pakatan Harapan. Seterusnya, Warisan perlu menghormati keputusan Tun Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan. Parti Warisan sendiri cuma berfungsi sebagai rakan mesra Pakatan Harapan selama ini dan tidak pernah ada ura-ura parti Warisan untuk menjadi komponen PH.

Namun ketidakberdayaan Shafie Apdal menahan kemasukan Bersatu memberikan simpati dalam kalangan akar umbi dan penyokong parti Warisan terhadap Ketua Menteri Sabah. Sebelum kemenangan Pakatan Harapan terdapat perjanjian lisan di antara parti warisan dan Bersatu bahawa parti Bersatu tidak akan melebarkan sayap ke Sabah kerana memberikan peluang kepada Warisan untuk berkembang di Sabah.

Namun selepas kurang daripada 10 bulan, Tun Mahathir mengumumkan parti Bersatu akan melebarkan sayap ke Sabah. Perlanggaran janji politik ini menyebabkan bukan sahaja rakyat Sabah berasa tidak puas hati, namun rakyat Sarawak melihat tindak tanduk ini seolah-olah tidak menghormati penduduk di Malaysia timur.

Implikasi daripada tindakan tersebut menyebabkan peningkatan terhadap sentimen penolakan parti berasaskan parti di Semenanjung khususnya terhadap parti Bersatu.

Keyakinan terhadap Pakatan Harapan juga terhakis apabila tidak terdapat persetujuan Bersama dalam komponen PH dalam isu penerimaan bekas ahli parlimen UMNO menyertai Bersatu bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, akan tetapi di Sabah.

Di Sabah penerimaan bekas pemimpin UMNO untuk menyertai Bersatu dijangka menyebabkan hubungan di antara Bersatu Sabah dan pemimpin Warisan dingin. Sudah menjadi rahsia umum bahawa ahli UMNO berasa tidak puas hati terhadap Warisan kerana parti Warisanlah yang mengalahkan UMNO di Sabah sehingga mereka tidak ada kedudukan dalam kerajaan. Kelompok yang melompat menyertai Bersatu dianggap berbuat demikian untuk menjaga hayat politik mereka sendiri yang sanggup menyertai musuh politik mereka.

Kepimpinan Warisan pula pada masa yang sama agak sangsi dengan UMNO Sabah dan bekas-bekas pemimpin UMNO Sabah. Kesangsian ini timbul apabila sebahagian besar UMNO Sabah mahu menyertai politik negeri Sabah dengan menggunakan dan menyertai parti Bersatu. Hal ini akan menyebabkan kedudukan parti Warisan akan tergugat.

Antara isu jangka panjang dijangka akan berlaku dalam politik Sabah ialah pembahagian kerusi bagi persediaan pilihan raya negeri akan datang. Sudah pasti Warisan mahu kerusi-kerusi yang hampir menang dari segi jumlah undi pada PRU lepas menjadi milik parti Warisan. Manakala bagi pemimpin UMNO yang bakal menyertai Bersatu, mereka mahukan kerusi tersebut untuk memastikan mereka menang dan mendapat kerusi. Ini adalah soal dasar yang bakal merenggang hubungan Bersatu dan UMNO di Sabah.

Seterusnya, ialah apabila parti Bersatu sudah menguasai kerusi strategik dalam dewan undangan negeri sudah pasti berlaku persaingan kuasa politik untuk menjadi Ketua Menteri Sabah. Shafie Apdal pasti mahu mengekalkan kuasa dengan menjadi Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua, sudah pasti akan melakukan tindakan-tindakan politik agar parti Bersatu di Sabah tidak berkembang dan menjadi ancaman kepada parti Warisan yang merupakan parti berasaskan tempatan tersebut. Isu parti politik berasaskan tempatan akan digunakan bagi meraih sokongan rakyat Sabah.

Namun parti Bersatu di Sabah nanti akan mempunyai kelebihan. Antaranya ialah Parti Bersatu ialah parti nasional dan Perdana Menteri Tun Mahathir menyokong kuat Bersatu di Sabah. Hal ini membolehkan parti Bersatu membuat tawar-menawar politik di Sabah dengan lebih baik.

Parti Bersatu juga menguasai Putrajaya dan ini membolehkan isu-isu pembangunan di peringkat nasional termasuk peruntukan lebih mudah mengalir kerana Bersatu dalam komponen Pakatan Harapan sedangkan Parti Warisan bukanlah sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.