KUCHING: Jabatan Perhubungan Awam Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) semalam mengesahkan berlaku kebakaran di loji syarikat tersebut di Bintulu pagi Jumaat.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan kebakaran berlaku sekitar jam 6.00 pagi Jumaat di saluran luar penyejatan air laut di luar kawasan loji pemprosesan Kompleks Petronas LNG.
“Pasukan Tindak Balas Kecemasan MLNG telah segera digerakkan ke lokasi untuk mengawal keadaan.
“Api berjaya dipadam sekitar jam 6.48 pagi dan tiada kecederaan dilaporkan.
Kata kenyataan itu lagi, pihak berwajib telah pun dimaklumkan dan siasatan kini sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca kejadian.