KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan akan melaksanakan ‘caj kesesakan’ bagi menggantikan mekanisme kutipan tol sedia ada.

Dalam satu kenyataan kepada media, pejabat itu memaklumkan langkah itu selari dengan janji Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan rayanya untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol di negara ini, dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat mengikut terma perjanjian konsesi.

“Ia juga sebagai langkah Kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuh raya.

Proses rundingan menurutnya, telah dimulakan dengan Gamuda Berhad untuk pengambilalihan konsesi di mana syarikat itu mempunyai pegangan konsesi.

“Antara kawasan terlibat ialah Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP); Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint); Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Kesemua kawasan ini mempunyai liputan trafik yang tinggi.

“Caj kesesakan akan dikenakan kepada pengguna pada kadar yang sama dengan bayaran tol untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Manakala pada jam 11.00 malam hingga 5.00 pagi tiada tol dikenakan.

Bermakna palang tol akan dinaikkan untuk semua lalu lintas.

Pada waktu lain, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada pada waktu biasa.

Kenyataan itu menambah, hasil kutipan caj akan diguna pakai untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya selain bayaran pinjaman.

“Lebihan pula akan disalur kepada satu dana pengangkutan awam dan digunakan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam di seluruh negara.”

Fakta:

* Tol penuh — waktu puncak
(7.00 pagi – 10 pagi/ 5 petang – 7 malam)
* Diskaun 30 peratus — waktu biasa (5 pagi -7 pagi/ 10 pagi – 5 petang/ 7 malam – 11 malam)
* Percuma — (11 malam – 5 pagi)

Gambar hiasan