Friday, August 12, 2022

Perpaduan kaum pemangkin pembangunan berterusan

Secara Rawak

SPAOH: Perpaduan yang kukuh serta erat harus sentiasa disemai pelbagai kaum dan agama dari masa ke semasa bagi meneruskan agenda pembangunan berterusan di daerah Betong.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri Sarawak memang sentiasa membantu semua kaum dalam memajukan infrastruktur di sesebuah rumah panjang, rumah-rumah di kampung dan sama juga seperti di pasar-pasar di kawasan ini.

Menurut beliau, pelbagai agenda pembangunan telah dirancang di Spaoh yang mana Ketua Menteri Sarawak akan datang melawat dan merasmikan pelbagai projek termasuk projek pecah tanah pembinaan Pejabat Daerah Spaoh yang baharu, Jambatan Sungai Paku, projek tebingan Sungai Paku, Menara Telekom dan Mini Stadium Spaoh.

“Ketua Menteri Sarawak juga akan bertemu, berbincang dengan semua ketua jabatan negeri Sarawak di Betong mengenai perkembangan pembangunan yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan di bahagian Betong.

“Selepas dua tahun memegang tampuk pemerintahan negeri Sarawak, Ketua Menteri telah berjaya melaksanakan 65 teras pembangunan termasuk mengenakan 5 peratus cukai petroleum daripada kerajaan pusat bagi membantu melaksanakan pelbagai projek di seluruh negeri Sarawak termasuk kawasan Betong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Gong Xi Fa Cai Spaoh 2019 yang dianjurkan Persatuan Tiong Hua Spaoh.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak juga menyatakan Kementerian Pertanian Sarawak akan meneruskan pelbagai program bagi membantu meningkatkan sosio ekonomi rakyat Sarawak termasuk program menternak sapi, kambing, ayam dan khinzir.

“Kita juga akan membantu dalam program penanam sayur-sayuran, buah-buahan termasuk mengagihkan 5 pokok benih durian musang king kepada semua rakyat di Betong.

“Ketua Menteri Sarawak telah memperuntukkan belanja berjumlah RM2.5 juta bagi membantu penanaman durian musang king, seterusnya merancang untuk menganjurkan kursus cara menanam durian musang king dan ternakan kelulut yang mempunyai potensi dimajukan di kawasan ini,” ujarnya lagi.

Douglas turut mengulas usaha kerajaan negeri Sarawak menjadikan kawasan ini sebagai ‘Food Basket’ bagi mengusahakan tanah NCR yang luas di kawasan ini.

“Kerajaan di bawah pimpinan GPS telah merancang banyak program untuk membantu rakyat meningkatkan sosio ekonomi dan rakyat diseru untuk memastikan pertanian adalah perdagangan.

Beliau turut memberitahu bahawa melalui program Agropolitan Gunung Sadok, kerajaan GPS akan membantu rakyat mengusahakan tanah-tanah NCR besar yang terbiar untuk tanaman kelapa sawit, getah dan lain-lain komoditi yang sesuai dengan keadaan tanah.

Pada majlis tersebut diumumkan juga, peruntukan berjumlah RM30,000 untuk majlis pengelola, RM20,000 untuk membiayai perarakan tokong Spaoh, RM20,000 untuk Lembaga Pengurus SJK(C) Chung Hua Spaoh, RM50,000 untuk membaikpulih tokong Spaoh dan RM2,000 daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan RM2,000 daripada YB Datuk Datuk Robert Lawson Chuat bagi membantu membeli kepala singa (tarian singa) untuk Persatuan Tiong Hua, Spaoh.

Selain tu juga, pengumuman peruntukan sebanyak RM15,000 untuk PIBG SJK(C) Spaoh dan RM20,000 daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta RM20,000 juga daripada Datuk Robert Lawson Chuat untuk Jawatankuasa Guru Besar Zon Spaoh.

Hadir bersama pada majlis berkenaan Ahli Parlimen Betong YB Datuk Robert Lawson Chuat, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr. Richard Rapu, Tuan Friday Belik Residen Bahagian Betong dan Encik Sofhi Bin Jebal Pegawai Daerah Betong.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru