KUCHING: Perasmian Pasar Tamu Desa Persatuan Biperoh diyakini mampu menjana pendapatan kepada masyarakat setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, YB Datuk Dr. Jerip Susil berkata, dengan adanya pasar tani itu, maka secara langsung ia dapat memudahkan masyarakat setempat menjual produk pertanian mereka tanpa perlu pergi ke pusat bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.19 Mambong itu juga menambah, beliau turut yakin selepas cadangan untuk menaik taraf Siburan sebagai daerah direalisasikan kelak, ia sudah pasti menarik lebih ramai pengunjung datang ke situ.

“Tahniah kepada Persatuan Biperoh kerana berjaya mewujudkan pasar tamu ini sekali gus memberi peluang kepada penduduk setempat memasarkan hasil tani mereka.

“Saya juga ingin memohon kepada pengerusi persatuan untuk mengenalpasti lokasi lain bagi mewujudkan pasar tani seumpamanya,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pasar Tamu Desa Persatuan Biperoh di Dewan Serbaguna Pusat Kebudayaan Persatuan Biperoh, Kampung Garung di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Datuk Dr Jerip juga mengumumkan geran sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan di pusat kebudayaan Biperoh.

“Kerjasama yang padu daripada pihak persatuan juga harus dipertingkatkan bagi membangunkan kawasan dan masyarakat setempat dari segi sosio-ekonomi,” katanya.