Thursday, August 18, 2022

Pemandu lori tangki terbakar selepas kemalangan di Lebuh Raya Plus, berlari beberapa meter dan rebah

Secara Rawak

TANJUNG MALIM: Seorang pemandu lori sempat berlari beberapa meter, sebelum rebah, dengan badannya dijilat api di Kilometer 372 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, di sini pagi tadi, selepas terlibat dalam satu nahas jalan raya.

Dalam kejadian menyayat hati itu, yang turut dirakam oleh beberapa netizen, mangsa terlibat dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah lori, termasuk sebuah lori tangki.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.05 pagi memaklumkan insiden tersebut.

“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tiga lori dengan dua daripadanya terbakar.

“Pemandu lori pertama, Mohamad Jurid Bakar berusia 45 tahun yang memandu dari arah selatan menuju ke utara, dan memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana brek angin mengalami masalah.

 

“Pemandu lori kedua Kamarul Azwar Abu Bakar berumur 34 tahun turut berhenti di lorong kecemasan untuk membantu pemandu lori pertama.

“Selesai membantu dia kembali ke kenderaannya untuk meneruskan perjalanan.

Ketika itu katanya, sebuah lori tangki dengan muatan minyak diesel dari lorong tengah tiba-tiba gagal dikawal sebelum merempuh belakang lori kedua, dan menyebabkan lori kedua melanggar belakang lori pertama.

“Lori muatan diesel kemudiannya terbakar dan merebak ke lori kedua, manakala lori pertama pula terselamat kerana berada di hadapan.

“Seorang mangsa dipercayai pemandu lori minyak diesel maut di tempat kejadian setelah terbakar, manakala dua lagi pemandu lori lain tidak mengalami kecederaan.

Akibat kemalangan tersebut, laluan di semua lorong ditutup bagi memberi laluan kepada pihak bomba untuk memadam kebakaran dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang empat kilometer.

Kes katanya, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.51 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati dua buah lori sedang terbakar.

“Kita juga mendapati satu mangsa rentung terbakar.

Operasi pemadaman dan menyelamat katanya, melibatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Tapah dan Bidor.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru