Sehingga 19/2/2019 seramai 8 orang iaitu 6 lelaki dan 2 orang perempuan telah tampil membuat laporan polis. Kesemua laporan polis ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Siasatan mendapati mangsa-mangsa telah diperdayakan kononnya untuk bekerja dalam bidang perhotelan di Kemboja dengan gaji bulanan di antara USD1,200 hingga USD1,500.

Mangsa dikehendaki membayar yuran pemprosesan sebanyak USD200 hingga USD300 ke akaun bank dan kepada seorang rakyat tempatan (Sarawak).

Mangsa-mangsa mendapat tahu berkenaan tawaran kerja palsu itu melalui Facebook dan juga WeChat.

Mangsa-mangsa secara berasingan telah terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja pada bulan Oktober dan November 2018.

Gambar fail

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, mangsa-mangsa dibawa ke sebuah rumah dan tidak dibenarkan keluar dengan makan minum disediakan.

Semasa sampai di rumah tersebut, mangsa-mangsa dikehendaki menyerahkan telefon bimbit dan pasport kepada lelaki-lelaki yang menjaga dan mengawal mereka.

Berdasarkan keterangan mangsa, mereka telah diarahkan untuk:-
– menghafal skrip dan berlakon sebagai pegawai bank, pegawai mahkamah dan banyak kali.
– membuat panggilan telefon dan menjawab panggilan telefon sebagaimana modus operandi yang digunakan sindiket Macau Scam.

Selain itu, ada mangsa yang diarahkan untuk mempromosikan judi di atas talian melalui panggilan telefon dan SMS kepada nombor-nombor yang disediakan.

Sehingga kini suspek warga tempatan yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan ini telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Sekian, terima kasih.

Kenyataan media Supt. Mustafa Kamal Gani Bin Abdullah
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak