Monday, June 27, 2022

Bekalan diesel di 21 sekolah bantuan di S’wak diteruskan

Secara Rawak

KUCHING: Bekalan bahan api diesel di 21 buah sekolah bantuan kerajaan di pedalaman Sarawak akan diteruskan seperti biasa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, khabar bahawa pemberhentian bekalan diesel itu tidak benar.

“Kerajaan tidak akan tamatkan bekalan diesel ke 21 sekolah di Sarawak,” tegasnya ketika
ditemui di Pejabat Ketua Menteri Sarawak di sini pada Selasa.

Maszlee telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pertemuan itu katanya melibatkan perbincangan untuk menambahbaik dasar pendidikan di Sarawak termasuk penyelesaian isu sekolah daif.

Pada Mac tahun lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyemak semula kontrak pembekalan diesel ke sekolah untuk menentusahakan sekolah yang layak menerima bantuan bahan api itu menggunakan peruntukan kerajaan.

Sebanyak 21 daripada 369 sekolah berkenaan adalah sekolah bantuan kerajaan.

Namun kementerian memutuskan untuk terus membeli diesel bagi 21 sekolah itu menggunakan peruntukan sedia ada sehingga Mac ini.

Sekolah terbabit sekolah pedalaman dan tidak menerima bekalan elektrik daripada grid utama.

Katanya ia bagi memastikan pembelajaran tidak terganggu, bekalan tersebut akan diteruskan dan laporan bahawa ia dihentikan bermula April 2019 adalah tidak benar

Dalam perkembangan sama katanya, KPM telah bersetuju dengan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi untuk menggalakkan lebih ramai pelajar antarabangsa untuk belajar di Sarawak.

Segala urusan kemasukan melalui imigresen Sarawak akan dipermudahkan dengan kerjasama Kerajaan Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru