KUALA LUMPUR:  Rakyat lebih berminat bercerita tentang kos sara hidup dan tadbir urus yang baik.

Malah menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat  (PKR), masyarakat malah lebih gemar jika ahli politik memberi tumpuan penuh kepada usaha mempertingkatkan ekonomi negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebahagian masyarakat kini tidak begitu mengambil berat  perihal politik yang berlaku di negara ini.

“Apabila saya berbual dengan masyarakat di bawah isunya tidak lain selain daripada kos sara hidup dan tadbir urus. Hanya beberapa orang sahaja yang ambil tahu tentang politik pada ketika mereka perlu mengikat perut,” katanya menerusi cicipan Twitter beliau hari ini.

“Lelaki dan perempuan lebih suka jika ahli politik memberi fokus kepada usaha memperbaiki ekonomi dan keadaan negara,” katanya.