SEBUYAU: Seminar Pendidikan Sebuyau 2019 yang buat pertama kalinya diadakan ini banyak memberi manfaat dalam meningkatkan prestasi sekolah.

Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak YB Datuk Haji Julaihi bin Haji Narawi berkata selain berkongsi pengalaman dan mengenal pasti kelemahan atau kekuatan dalam aspek pendidikan di Sebuyau, seminar ini juga dapat meningkatkan prestasi sekolah.

“Ini merupakan kali pertama Seminar Pendidikan Sebuyau diadakan di kawasan Sebuyau.

“Seminar ini juga dapat berkongsi pengalaman dan mengenal pasti kelemahan atau kekuatan dalam aspek pendidikan di Sebuyau dan seterusnya merangka pelan tindakan bagi meningkatkan prestasi sekolah.

“Saya juga berharap program seperti NIE (Newspaper In English) akan diteruskan bagi memastikan pelajar-pelajar di Sebuyau boleh meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris,” katanya semasa berucap di Majlis Seminar Pendidikan Sebuyau 2019 di Dewan Pembangunan Sebuyau.

Seminar pendidikan ini telah diadakan selama sehari bermula pagi hingga petang dan mendapat sambutan menggalakkan dari pihak sekolah dan pelajar.

Datuk Haji Julaihi turut melahirkan rasa bimbang di dalam budaya pendidikan berdasarkan kepada apa yang berlaku hari ini.

“Tidak seperti dahulu, hari ini cabaran dalam pendidikan lebih terarah kepada media sosial.

“Para pendidik dan guru perlu mengambil perhatian serius dalam menilai perkara yang disampaikan di media sosial.

“Jika tidak ditangani dan dinilai secara baik, ianya boleh mengundang kepada gejala negatif,” tambahnya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM10,000 bagi setiap 19 buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau pada tahun ini.