KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus membangunkan negeri ini mengikut acuan sendiri.

Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Sarawak YB Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata selain pembangunan infrastruktur, Kerajaan Sarawak juga menitikberatkan pembangunan pendidikan.

“Kita (Kerajaan Sarawak) akan terus membangunkan negeri ini mengikut acuan sendiri seperti mana yang telah digariskan dalam Bajet 2019.

“Biarpun pendidikan bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak, tetapi kita akan tetap membantu pihak sekolah dalam menyedia dan memastikan setiap anak cucu kita akan mendapat pendidikan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Malam Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2019 di Dewan Pala Baki, malam tadi.

Program ini dianjurkan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kpg Pala Baki bersempena sambutan Tahun Baru Cina 2019.

Datuk Roland Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata Kerajaan Sarawak akan terus menjaga dan membangunkan negeri ini dengan menggunakan sumber pendapatan dari cukai minyak dan gas yang dilaksanakan bermula tahun ini.

“Bermula tahun ini, Kerajaan Sarawak telah menguatkuasakan cukai produk petroleum yang dikeluarkan dari Sarawak.

“Hasil ini akan kita gunakan untuk membangunkan kawasan luar bandar yang menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri hari ini.

“Justeru, sama-sama kita memberikan sokongan kepada kepimpinan Sarawak hari ini dalam usaha kita menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan membangun di masa akan datang,” katanya.

Majlis telah diserikan lagi dengan persembahan tarian kebudayaan masyarakat Cina dan cabutan bertuah.