KUCHING: Selain pembangunan ekonomi dan infrastruktur fizikal, Kerajaan Sarawak turut mengambil berat dalam soal kesejahteraan sosial dalam mencapai pembangunan yang seimbang.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak YB Datuk Dr Jerip Susil berkata Kerajaan Sarawak turut mengambil berat dalam soal pembangunan kesejahteraan sosial dalam mencapai negeri maju.

“Kesejahteraan sosial adalah aspek penting dalam keseimbangan pembangunan negeri Sarawak dalam mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

“Setiap masyarakat perlu peka dan sentiasa memainkan peranan sebagai mata dan telinga dengan bertindak melaporkan segala maklumat, permasalahan dan gejala tidak sihat yang berlaku di sekeliling kepada jabatan serta agensi yang berkaitan.

“Input, pandangan, idea dan maklumbalas membina dari kalangan masyarakat juga amat diperlukan bagi menambahbaik usaha dan mutu perkhidmatan jabatan/agensi kerajaan agar lebih sensitif dan respontif kepada kehendak dan keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penutupan Randau Pembangunan Sosial Sarawak (KWKPK) di Balai Raya Kampung Anah Sibakar, Padawan.

Program ini merupakan anjuran Majlis Pembangunan Sosial Sarawak, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan. Kanak-Kanak Negeri Sarawak (KWKPK), Pejabat Residen Bahagian Kuching dan Pejabat Daerah Kecil Padawan.

Untuk itu, semangat ambil peduli harus terus dipupuk dalam komuniti sejajar dengan gerakan ‘care for Sarawak’ yang didokong oleh KWKPKK.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong turut menekankan bahawa pembangunan sosial adalah tanggungjawab kita bersama sama ada di peringkat Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Pembangunan sosial adalah tanggungjawab kita bersama di mana kerjasama dan penyelarasan strategik di antara kementerian dan rakan-rakan di jabatan/agensi kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, institusi-institusi swasta, badan berkanun (NGO) dan pimpinan di peringkat akar umbi perlu dipertingkatkan bagi mencapai kesejahteraan sosial di negeri ini secara terancang, menyeluruh dan bersepadu.

“Rakyat di luar bandar perlu terus melibatkan diri dan berkerjasama dengan semua pihak bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti masing-masing,” katanya.

Beliau turut menyeru Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), pemimpin di peringkat akar umbi dan pemimpin institusi keagamaan di peringkat kampung untuk terus aktif memainkan peranan masing-masing dan bersikap responsif dalam membantu penduduk kampung yang menghadapi masalah berkaitan dengan isu-isu sosial.

Pada majlis itu, Datuk Dr Jerip telah mengumum dan meluluskan RM800,000 bagi melaksanakan Projek Transformasi Masyarakat Luar Bandar (RTP) dengan RM200,000 bagi membina jalan ke kawasan Air terjun Sibakar, RM100,000 bagi menaik taraf padang bola sepak Kampung Anah Sibakar dan RM500,000 untuk membina jalan kebun sepanjang 4km dari Kampung Anah Simutu/Sibakar ke Kampung Tepoi, Serian.