Tuesday, May 11, 2021

PAS: Bahtera PH menunggu belah dan bakal karam

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan  mendakwa bahtera Pakatan Harapan (PH) kini mengalami keretakan serius yang pastinya menunggu belah dan bakal karam.

Ujarnya, tindakan nekad mereka ialah berusaha untuk menjatuhkan  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sememangnya difahami daripada kenyataan pemimpin mereka, bahawa beliau hanyalah sekadar batu loncatan untuk mereka berkuasa.

“Kini mereka di tampuk kuasa. Tun M pula dilihat sebagai spoiler untuk merealisasikan beberapa rencana dan matlamat perjuangan mereka selama ini,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan.

“PAS sejak awal telah menyedari, bahawa objektif dan matlamat perjuangan DAP yang kini mendominasi PH adalah sangat merugikan Islam dan umatnya,” tegasnya.

Jelasnya, perkara ini jugalah yang menjadi faktor utama kenapa PAS memutuskan tahaaluf siasi dengan DAP sewaktu dalam Pakatan Rakyat dahulu.

“Kemaraan dan penguasaan DAP serta bonekanya dalam kerajaan dan politik negara mesti dihalang,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, kesedaran umat Islam untuk mengembalikan pengaruh dan kuasa politiknya mesti digerak aktif. Bijak mengatur strategi dan licik merencana tindakan.

“Jangan biarkan umat Islam bertelingkah sesama sendiri sementara golongan anti Islam bermaharajalela di bawah pengaruh Islamophobia, menjarah politik dan ekonomi negara,” katanya.

“Pertelingkahan “senyap” dalam PH mula disedari awam melalui kenyataan para pemimpin mereka yang saling “bersilang kata” dan “menjulur lidah” di antara mereka,” ujarnya.

Jelasnya, tatkala PAS menghidu “gerakan bawah tikar” yang mula aktif dalam PH untuk ‘menggulingkan’ Dr Mahathir dari kerusi Perdana Menteri pada bulan Mac ini, maka  antara langkah segera PAS ialah menyatakan sokongan terbuka kepada beliau selaku Perdana Menteri agar diberi kepercayaan memimpin sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Secara Rawak

Artikel Terbaru