LINGGA: Tuah awal Februari 2019 nampaknya menyebelahi nelayan Lingga apabila berjaya menawan 209 ekor ikan panjang semalam.

Ketika negara sibuk membawa pulang 43 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari Kemboja kelmarin, Firdaus pula berdepan detik mengujakan apabila membawa pulang 209 ekor ikan besar di dalam perahunya ke pangkalan Lingga.

Seorang nelayan, Firdaus, 30 tahun, memperoleh tangkapan ikan dengan pukat hanyut yang lebih dikenali sebagai ‘ranto kasar’ oleh nelayan setempat.

‘Rezeki anak’ itu kata isteri Firdaus tentang tangkapan luar biasa yang diperoleh suaminya.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah.Itu rezeki anak. Ada 209 ekor semua ikan panjang yang berjaya ditangkap. Dua ekor adalah ikan terusan. Ini rezeki Adeq Amirrul Raini dan suami saya Firdaus.Terima kasih ya Allah. Lama sudah suami saya tak dapat ikan. Akhirnya sekali dapat dalam jumlah yang luar biasa.

“Mudah-mudahan rezeki semua nelayan lain turut di murahkan. Terima kasih ya Allah telah memberi rezeki kepada kami sekeluarga, ” ujarnya.

Firdaus yang tinggal di Kampung Hulu Lingga bersama keluarga memberitahu apa yang dikecapinya merupakan pengalaman pertama memperoleh tangkapan sebanyak itu sepanjang menjadi seorang nelayan.

Ikan panjang kini mempunyai pasaran yang amat baik dan harganya dalam lingkungan RM18 dan kadang-kadang mencecah RM20 sekilogram atau lebih berdasarkan saiz ikan berkenaan.

Bagaimanapun ini belum lagi mengambil kira harga limpa ikan tersebut yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Harga limpa ikan panjang atau ‘lupa ikan’ dalam sebutan tempatannya mencecah harga ribuan ringgit sekilogram.