PORT DICKSON: Kerajaan kini di fasa akhir mengenalpasti penerima yang layak menerima subsidi petrol bersasar yang akan dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu adalah hasil beberapa siri perbincangan diadakan membabitkan pengusaha stesen minyak dan persatuan pengguna.

Selain itu, Kementerian Kewangan juga pada bila-bila masa akan mengumumkan vendor terpilih bagi membangunkan sistem pelaksanaan program subsidi petrol RON95 bersasar, katanya dalam ucapan perasmian stesen minyak BHPetrol Sepang-Lukut di sini, hari ini.

Saifuddin berkata adalah menjadi harapan kerajaan bahawa subsidi petrol bersasar yang dilaksanakan akan berjalan lancar seperti mana sekarang.

Dalam sidang media kemudian, Saifuddin menjelaskan sistem memilih vendor melalui ‘request for proposal’ yang dijalankan Kementerian Kewangan juga telah sampai ke kemuncaknya.

Katanya vendor berkenaan bertangungjawab membangunkan sistem bukan sahaja melibatkan subsidi petrol bersasar sahaja, bahkan meliputi subsidi bersasar kepada item barangan yang lain.

“Pada bila-bila masa Kementerian Kewangan akan memuktamadkan satu vendor dan kita di kementerian akan bekerjasama dengan vendor yang dipilih untuk memastikan perlaksanaan subsidi bersasar itu akan berjalan dengan licin.

“Di pihak KPDNHEP pula, perbincangan berterusan dengan syarikat-syarikat minyak, pengusaha stesen minyak kecil dan besar, agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang mengendalikan data e-Kasih untuk memastikan senarai penerima yang layak menikmati subsidi bersasar itu adalah data yang kredible dan bersih,” katanya.

KPDNHEP selaku kementerian yang menerajui program pelaksanaan subsidi bersasar kata Saifuddin akan memastikan senarai mereka yang layak menerima subsidi bersasar adalah mengikut garis pendapatan isi rumah.

“Itu adalah tujuan sebenar apabila kita laksanakan subsidi bersasar ini mesti sampai kepada golongan sasaran,” katanya.

Setakat ini, terdapat sebanyak 3,500 stesen minyak di seluruh negara dengan rangkaian stesen minyak jenama BHPetrol adalah sebanyak 400 buah di semenanjung.

Mengenai majlis berkenaan Saifuddin berkata Seng Group Of Companies merupakan antara syarikat pertama yang membuka stesen minyak di kawasan luar bandar dan telah memiliki sebanyak lebih daripada 100 buah stesen minyak di semenanjung menerusi kerjasama dengan BHPetrol.

“Ini sekaligus dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat dan membangunkan kawasan setempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu semua pengusaha stesen minyak memberikan kualiti perkhidmatan yang baik termasuk aspek penjagaan kebersihan tandas.– BERNAMA