LIMBANG: Sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat kepada Limbang Agrofest yang diadakan pada 15 Februari lepas dan berakhir hari ini telah dicadangkan tempoh masa ini akan dipanjangkan selama 5 hari bermula tahun depan.

Menteri Muda Pertanian Sarawak YB Dr Hj Abdul Rahman Ismail berkata penganjuran Limbang Agrofest 2019 yang memasuki edisi ketujuh sejak 2013 dan merupakan salah satu dari program di dalam kalender di Daerah Limbang telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk Limbang dan negara Brunei.

“Bermula tahun 2020, saya meminta Jabatan Pertanian Sarawak selaku penganjur utama kepada Limbang Agrofest untuk melanjutkan masa penganjuran kepada 5 hari.

Foto Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS

“Limbang Agrofest ini diadakan bertujuan mempromosikan produk-produk pertanian, penternak dan nelayan serta produk makanan yang dihasilkan oleh pengusaha kecil dan sederhana di Daerah Limbang.

“Selain itu, ia membantu pengusaha kecil dan sederhana di daerah menjual produk yang telah dihasilkan kepada para pengunjung sekaligus dapat menambah pendapatan mereka.

“Selain itu, program tersebut juga memberi ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat fungsi setiap jabatan dan agensi yang terlibat dengan bidang pertanian amnya dengan mengunjungi pameran agensi yang ada di tapak ini,” katanya semasa berucap mewakili YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak di Majlis Perasmian Limbang Agrofest 2019 semalam.

Mengenai pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di Limbang, Dr Hj Abdul Rahman berkata pada tahun ini, Derah Limbang telah mendapat peruntukan berjumlah RM8.13 juta merangkumi pelbagai projek pertanian.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1,603,500 digunakan bagi Program Pembangunan Buah-buahan dan Pembekalan Input, Mempelbagai Tanaman, Padi, Kelapa dan Getah, RM403,000.00 Projek Industri Asas Tani dan Ekonomi Keluarga, RM590,000 Projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kubong, RM1 juta Projek Benih Durian Mousang King, RM200,000 Projek Perikanan Darat dan RM340,000 Projek Veterinar.

“Manakala, RM2,000,785 bagi Projek Infrastruktur Asas Jalan dan Projek Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota RM2 juta.

“Kita mengharapkan kesemua projek-projek tersebut akan dapat dilaksanakan dan memberi impak yang positif bagi pembangunan pertanian di Daerah Limbang sama ada dari segi ekonomi dan menjana pendapatan bagi para petani, penternak dan usahawan kecil dan sederhana,” tambahnya.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian 4 anugerah kepada usahawan, peladang dan penternak di Daerah Limbang yang berjaya.

Antara anugerah-anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Tani Jaya 2019, Anugerah Penternak Jaya (Akuakultur), Anugerah Usahawan Jaya (Industri Asas Tani) dan Anugerah Penternak Jaya (Veterina).