Thursday, June 30, 2022

Ada rakyat tempatan terlibat sebagai dalang kes Kemboja — Fatimah

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Perunding Kerajaan Negeri Sarawak dalam kes tahanan di Kemboja, Datuk Seri Fatimah Abdullah tidak menolak kemungkinan kes tersebut didalangi rakyat tempatan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam.

“Dan dari sudut pihak polis akan siasat. Mereka akan melakukan sasatan susulan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah mengumpul sedikit maklumat dan akan menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

Fatimah dan empat lagi anggota rombongannya, termasuk Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berada di Kemboja sejak sepanjang minggu ini bagi merundingi usaha pembebasan.

Mereka bukan sahaja melawat mangsa, malah melaksanakan rundingan dengan pegawai kerajaan terlibat, di Siem Reap dan Phnom Penh.

Seramai 40 anak Sarawak, tiga Sabah dan empat Semenanjung menjadi  mangsa penipuan sindiket tersebut.

Mereka bagaimanapun dibebaskan atas restu Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen pada Jumaat lalu, setelah lebih dua bulan ditahan di Penjara Beanchey Meanchey, Siem Reap.

Mereka ditahan Polis Kemboja pada Disember di dua banglo berbeza kerana disyaki terlibat dalam sindiket perjudian atas talian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru