MUKAH: Rahsia kecemerlangan anak boleh dipacu dengan cara menyediakan komunikasi bahasa termasuk minat membaca buku di samping memberi ganjaran jika mereka beroleh kejayaan.

Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkongsi berkongsi tips kejayaan anak di sekolah juga perlu didukung oleh guru termasuk Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG).

“Kawal media sosial kerana ia antara faktor anak-anak leka dan terpengaruh anasir luar,” katanya.

Katanya, tujuh elemen penting digariskan berkenaan harus dipraktik ibu bapa malah pelajar itu sendiri demi membantu kejayaan sesebuah sekolah.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu mengingatkan kepentingan membaca perlu dipupuk sejak dari kecil lagi.

“Galak anak-anak membaca, jadikan ia budaya dalam keluarga malah sejak kecil dedahkan anak dengan buku mengikut peringkat usia,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput khas bagi Perkongsian Amalan Terbaik dalam slot Mesyuarat Agung Tahunan PIBG yang dihadiri ibu bapa dan waris murid Sekolah Kampung (SK) Kampung Tellian Mukah baru-baru ini.

Katanya, salah satu amalan membaca yang mudah perlu dipraktik kepada anak ialah membaca suratk habar setiap hari terutama bahasa Inggeris kerana ia banyak membantu pelajar untuk menguasai bahasa tersebut dengan lebih baik.

Dalam slot tersebut, Dr Jeniri juga mengembalikan nostalgia bagaimana beliau keluar dari lingkaran kemiskinan pada zaman bergelar pelajar.

“Kesusahan hidup 50 tahun lalu menjadikan saya berjaya. Ilmu berjaya mengubah kehidupan saya malah menjadi motivasi penting mengubah siapa saya hari ini,” katanya.

Untuk rekod, Dr. Jeniri adalah anak kampung yang pernah bersekolah di SK Kampung Tellian Mukah pada 1965 hingga 1970.

Pada slot tersebut, Dr. Jeniri menyumbangkan buku berjumlah RM5,000 untuk perpustakaan SK Kampung Tellian Mukah.

Terdahulu, beliau memaklumkan meneruskan sumbangan langganan majalah ilmiah untuk sekolah tersebut yang telah dilaksanakan dua tahun sebelum ini.

Selain itu, beliau juga turut menyumbang “Sagan Bup” yang berbentuk kiosk buku, berfungsi sebagai pondok buku untuk dibaca oleh ibu bapa dan murid sewaktu menunggu waktu balik sesi persekolahan.

Turut hadir dalam slot tersebut ialah Guru Besar, Syazana Abdullah @ Rufina Tambi, Penolong Kanan Pentadbiran, Dayang Haisah Awang Lai, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Boniface Michael anak Chabo, Penolong Kanan Kokurikulum Masiah Alwi, Yang DiPertua PIBG James Anthony, AJK PIBG, guru-guru, ibubapa dan waris murid.