SIEM REAP: Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melahirkan rasa syukur kerana usaha membebaskan semua tahanan dari Malaysia dalam kes penipuan di Kemboja berada di tahap akhir.

Ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Wan Junaidi berkata, pihaknya berterima kasih kepada Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Othsman Hassan atas bantuan yang diberikan.

“Bukan sahaja membantu membebaskan 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa, bahkan mendapatkan kebenaran perlepasan, pendaratan dan pendaratan di Kemboja.

Katanya, rombongan tersebut akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 10.00 pagi dan tiba sekitar jam 1.30 petang.

“Perjalanan mengambil masa dua jam setengah tetapi disebabkan perbezaan masa satu jam di antara Kemboja dan Kuching, jarak waktu menjadi sedikit lama.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing kerana membantu mendapatkan kebenaran laluan di Indonesia dan Malaysia.

“Kita ada seorang mangsa yang sakit dan saya telah berhubung dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk bantuan perubatan,” tambahnya lagi.

Rombongan ini menggunakan pesawat sewaan JC International Airline yang disewa khas oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Ia akan membawa 48 penumpang termasuk 43 mangsa, tidak termasuk krew penerbangan.

Selebihnya akan menaiki pesawat Malaysia Airlines menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.