KUCHING: Siapa Mr Pipi? Tiada orang mengenalinya tetapi bagi 47 tahanan Malaysia di Kemboja, pasti nama itu akan diingati sampai mati.

Ini kerana Mr Pipi menjadi mimpi ngeri sehingga mereka jadi tahanan di negara asing.

Abdul Mustaqqim Abdul Karim, 24 tahun salah seorang tahanan anak Sarawak mengimbas kembali saat awal tergoda dengan tawaran kerja di negara itu.

Dia mengaku menerima tawaran yang diiklankan di laman Facebook dan WeChat.

“Kami ditawarkan dengan gaji lumayan sebelum diberikan butiran dan tiket penerbangan ke Kuala Lumpur dan Kemboja pada 27 November 2018.

Mustaqqim

Mustaqqim menceritakan detik awal dia bersama-sama tahanan lain berurusan dengan seorang ejen yang dikenali sebagai Mr Pipi.

“Kami sampai ke Kuala Lumpur dan melalui aplikasi WeChat kami diberi tiket ke Kemboja.

“Apabila sampai ke Seam Reap ada seorang ejen dengan satu kain rentang yang tertulis Mr Pipi. Ya Mr Pipi saya dapat ingat dengan jelas, dia yang menyambut kedatangan kami.

“Sebaik masuk ke dalam kereta, kami diarah menyerahkan pasport dan telefon bimbit.

Mr Pipi ujarnya, menyuruh mereka memadam semua mesej di dalam telefon bimbit mereka.

“Pasport dan telefon mereka pegang. Kami meminta untuk menghubungi keluarga di Malaysia, tidak dibenarkan kerana katanya, kami hanya boleh hubungi keluarga seminggu sekali.

Menariknya, Mr Pipi ialah rakyat Kemboja yang menguasai tiga bahasa Cina dan bahasa Inggeris selain bahasa tempatan.

“Tetapi sehingga kini kami tidak tahu apa yang terjadi kepada Mr Pipi.

Namun kerana nama itu memberi pengajaran seumur hidup kepada mereka.

Lain pula bagi ibu mangsa, hatinya bagai dihiris dengan pisau tajam, air mata apatah lagi.

Doa tetap dipanjat agar si anak pulang ke pangkuan keluarga.

Dalam kotak fikiran Marsita Mohamad,48, anaknya akan mereput di dalam penjara di Kemboja namun dia tetap menggantung harapan tinggi agar anaknya kembali dengan selamat.

“Saya tidak terkata. Tiada bahasa dapat saya ucap selepas mendapat tahu kerajaan Sarawak akan campur tangan.

“Terima kasih kerajaan Sarawak, terima kasih,” katanya ketika menyambut ketibaan anaknya bersama-sama 42 yang lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.

Untuk fakta, 40 orang anak Sarawak bersama-sama tujuh yang lain termasuk dari Sabah dan Semenanjung Malaysia ditahan di penjara atas dakwaan terlibat perjudian haram.

Rundingan diplomasi antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Kemboja akhirnya membawa kepada kepulangan semua tahanan hari ini selepas dua bulan dipenjara.

Kata Marsita, dua bulan dipenjara di negara orang pelbagai perkara buruk diingatnya apatah lagi anaknya perempuan.

Katanya, anaknya Nor Ridwana Syahzani berusia 21 tahun cuma memberitahu untuk ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan.

“Berangkat dari Kuching pada Oktober, katanya ke Kuala Lumpur. Tetapi kali terakhir menghubungi saya pada Januari sebelum kami diberitahu mereka ditangkap di Kemboja,” ceritanya.

Katanya, ia harus dijadikan pengajaran anak muda di luar sana supaya tidak tergoda dengan janji yang tidak pasti, peluang pekerjaan di luar negara.

“Lepas ini saya tidak akan benar dia ke mana-mana waima ke Kuala Lumpur tanpa keluarga, tanpa saya sendiri menemannya ketika temuduga.

“Tragedi ini biar jadi pengajaran kepada semua termasuk saya sebagai orang tua. Jangan percaya selagi ia tidak pasti,” katanya.

Sama seperti Marsita, ibu kepada seorang lagi mangsa Eviana Nazreen 20, memberitahu, anaknya itu menelefon keluarga pada Disember.

“Kami sempat berpesan supaya menjaga diri dengan baik. Katanya dia sihat dan baik sahaja,” katanya.

Kata Evelyn Christy, sama sekali dia tidak menyangka anaknya ditahan di Kemboja.

“Bagaimana nasibnya, makankah tidak, mana-mana ibu akan begitu, kekhuatiran itu tetap ada kerana mereka perempuan,” katanya.

Katanya, dia sama seperti ahli keluarga mangsa lain mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan.

“Anak-anak kami balik dengan selamat dan sihat. Sebagai ibu bapa, kami amat berterima kasih kerana campur tangan kerajaan kedua-dua negara, anak kami selamat,” katanya.

Kesemua tahanan Sarawak berjaya dibawa pulang hari ini dengan selamat dan disambut keluarga masing-masing di LTAK pada jam 1.30 petang tadi.

Jika dilihat dari satu sudut, Kemboja bukanlah negara yang mampu memberi tawaran kerja dengan gaji lumayan kerana dengan populasi 15 juta penduduk, ia merupakan negara ke-69 paling ramai penduduk di dunia.

Terletak di bahagian selatan Semenanjung Indochina di Asia Tenggara dengan jumlah keluasan tanahnya 181,035 kilometer persegi menjadikan ia
berjiran Thailand di barat laut, Laos di timur laut, Vietnam di timur, dan Teluk Thailand di barat daya.

Kemboja mengamalkan agama rasmi Buddha aliran Theravada yang dianuti oleh kira-kira 95 peratus penduduknya.

Antara kaum minoriti negara Kemboja adalah Vietnam, Cina, Cham, dan 30 suku hulu.

Ibu negara dan bandar raya terbesarnya Phnom Penh iaitu pusat politik, ekonomi dan kebudayaan Kemboja.