PETRA JAYA: Minggu lepas, 9-10 Februari, Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Ibadah (MDI) Semariang Lama 2019-2021 mengadakan Program Wacana Harmoni atau Retreat di Sematan.

Bertempat di The Village, program tersebut melibatkan 40 peserta terdiri daripada ahli jawatankuasa dan pegawai MDI.

Program dua hari satu malam itu memuatkan pelbagai aktiviti antaranya ceramah, tazkirah, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), senaman, sukaneka, malam mesra dan sebagainya.

LDK dan motivasi dikendalikan oleh penceramah bebas Ustaz Zamri Mohammad.

Turut menyampaikan ceramah ialah Pengerusi MDI Haji Awang Hambali Haji Awang Hamdan dan Haji Syahrul Nizam Junaini berkisar isu masjid dan peranannya.

Awang Hambali pada sesi penyampaiannya berkata, MDI menganjurkan program Retreat ini bertujuan mempertingkat pengurusan dan tabdir masjid.

Sebagai catatan, MDI ialah penerima Anugerah Pengurusan dan Tadbir Terbaik 2017 pada Anugerah Maal Hijrah.

MDI sendiri turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada pegawai masjid sebagai rakaman penghargaan atas jasa mereka.

Melalui aktiviti dijalankan, silaturahim sesama peserta terus dipupuk dengan semangat kekitaan diteguhkan.

Selain itu, menurut Penyelaras Program Retreat Haji Awang Razak, program ini dapat memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada peserta secara langsung dan tidak langsung.