PUSA: Kerajaan Sarawak dan Ahli Parlimen Batang Lupar telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan Dataran Kejat di bawah Projek Transformasi Rakyat (RTP).

Ahli Parlimen Batang Lupar YB Dato Sri Rohani binti Abdul Karim berkata peruntukan sebelum ini berjumlah RM100,000 di bawah RTP tidak mencukupi dan terpaksa ditambah lagi sebanyak RM100,000 di bawah Parlimen Batang Lupar.

“Sebelum ini peruntukan RM100,000 telah diluluskan di bawah RTP bagi membina Dataran Kejat, tetapi tidak mencukupi.

“Justeru, saya akan menambah lagi RM100,000 bagi menampung peruntukan tersebut demi kesejahteraan rakyat,” katanya semasa berucap di Majlis Makan Malam dan Pesta Ang Pau Sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Dewan Serbaguna Kampung Doto Godam, Pusa.

Dalam pada itu, Dato Sri Rohani turut mempelawa orang ramai khususnya penduduk di Daerah Pusa untuk hadir di Program Jom Berambeh yang akan diadakan pada 16 Mac nanti di Dataran Tandang Sari.

“Pelbagai pengisian program telah dirancang dengan membawa jabatan dan agensi kerajaan turun padang dan berjumpa rakyat.

“Penduduk boleh menggunakan kesempatan ini untuk mendapat maklumat berkaitan dengan kerajaan terutama maklumat pertanian.

Pada majlis itu, Dato Sri Rohani turut menyampaikan sumbangan ‘ang paw’ kepada 20 orang warga emas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro YB Razali bin Hj Gapor menyumbang kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Chung Hua Pusa sebanyak RM5,000.