SIEM REAP: “Ia pengajaran yang besar kepada saya,” kata Nur Mardiana Mohamad Hamzah, 25 tahun, salah seorang mangsa penipuan di Kemboja.

Akibat silap perhitungan, gadis ini meringkuk di Penjara Banteay Machey di sini selama dua bulan.

Beliau merupakan antara 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan Jumaat lalu, dengan 40 daripadanya adalah dari Bumi Kenyalang.

Katanya, pengalaman lebih 60 hari di penjara cukup menginsafkan.

Mardiana mengakui beliau terjerat dengan tawaran kerja di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan.

” Banyak yang saya pelajari daripada pengalaman selama dua bulan di penjara, dan selepas ini akan lebih berhati-hati dalam membuat pilihan,” katanya.

Mark Rogers William Nun, 24 tahun pula mengakui kehidupan di penjara negara asing begitu mencabar.

“Susah senang dalam penjara adalah tanggungan kita pun.

“Sik semua sidak jaik kerana ada yang sik bersalah pun,” katanya.

Mark mengalami kesakitan pada kakinya semasa berada di Kemboja.

Beliau berharap dapat menerima rawatan sebaik tiba di Kuching.

Kesemua 47 rakyat dijangka tiba di Malaysia pada petang ini.

Kesemua 40 anak Sarawak dan tiga dari Sabah dijadualkan tiba di Kuching sekitar jam 1.30 petang pada Ahad dengan menggunakan pesawat dari JC International Airlines.