SEBUYAU: Penduduk di kawasan Sebuyau berharap projek membina sekolah gantian baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong, seperti yang diluluskan dipercepatkan pembinaanya.

Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi berkata, kedua-dua projek sudah diluluskan pembinaanya dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) ditapak gantian baru dalam kawasan bandar baharu Sebuyau.

“Bangunan sekolah gantian baharu SMK sebuyau yang sudah diluluskan dalam RMK11 ditapak gantian dalam bandar baharu Sebuyau sepatutnya ditender pada tahun lepas.

“Tetapi oleh kerana pertukaran kerajaan pusat sehingga hari ini, pembinaan sekolah penuh gantian ditapak baharu belum itu dapat kita nampak realitinya,” kata Julaihi.

Beliau berucap semasa Seminar Pendidikan Sebuyau 2019 di Dewan Pembangunan Sebuyau, petang semalam yang turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr. Azhar Ahmad.

TEKUN … Kelihatan sebahagian peserta Seminar Pendidikan Sebuyau 2019 yang terdiri daripada para guru tekun mendengar ucapan di Sebuyau, semalam. Foto: ALIF NONI

Kata Julaihi, tender projek untuk pembinaan kedua-dua sekolah gantian
masih belum tahu status perkembangannya.

“Ini satu keperluan kita harap dapat ditangani, jadi kita berharap kehadiran Pengarah Pendidikan Sarawak dapat memanjangkan hasrat warga Sebuyau kepada Kementerian Pendidikan Malaysia agar, bangunan sekolah gantian ini dapat dibina mulai tahun 2019,” tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menambah, keadaan fizikal sekolah rendah dan menengah yang daif di Sebuyau tidak jauh beza dengan sekolah-sekolah luar bandar di negeri ini.

“Mungkin keadaan sekolah kita ada lebih baik dan mungkin ada lebih teruk daripada tempat lain. Cuma, sekolah-sekolah di Sebuyau sudah dapat dihubungi melalui jalan raya.

“Kawasan Sebuyau masih mempunyai sekolah-sekolah daif dan masih memerlukan peruntukan lebih banyak untuk membaikpulih atau membina sekolah gantian baru untuk sekolah-sekolah,” ujarnya sambil memberitahu, Sebuyau mempunyai 19 sekolah rendah dan satu sekolah menengah.

Terdahulu, Julaihi berkata, antara objektif Seminar Pendidikan Sebuyau 2019 berkongsi pengalaman dengan hasil pembentangan ilmiah dalam bidang pendidikan bersama warga pendidikan dan komuniti Sebuyau.

“Seminar ini juga boleh dijadikan sebagai platform untuk bertukar-tukar fikiran atau idea, penyelidikan dan inovasi oleh warga pendidik dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya.

Seminar Pendidikan Sebuyau 2019 dihadiri seramai 540 orang peserta yang terdiri dairpada guru-guru dari Zon Sebangan dan Zon Sebuyau, ketua-ketua kaum dan ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dari kedua-dua zon.

 

HASIL KERJA … Datuk Julaihi Narawi bersama Dr. Azhar Ahmad melawat sebuah tapak pameran semasa Seminar Pendidikan Sebuyau 2019 di Sebuyau, semalam. Foto: ALIF NONI