KUCHING: Naluri hati seorang ibu membawa empat anaknya menziarahi rumah mentua berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam satu kejadian kebakaran di sini petang tadi.

Ibunya, Ana Materang berkata, manakala anak sulungnya tidak bersama mereka kerana mengikuti latihan tarian singa bersama kawan-kawannya.

“Saya tahu mengenai kejadian setelah diberitahu oleh anak saudara saya.

“Walaupun rumah terbakar tetapi saya bersyukur kerana nyawa keluarga saya selamat,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Menurut Ana, menjadi kelaziman mereka sekeluarga pergi ke rumah mentua pada hujung minggu bersama anak-anak dan suaminya.

Dalam kejadian hari ini, sebuah rumah dua tingkat separuh kekal didiami tujuh sekeluarga hangus 85 peratus di Lorong 7, Kampung Sungai Apong Baru, Jalan Pending di Kuching.

Komandar Operasi yang juga Ketua Balai Bomba Tabuan Jaya, TPgB Faizal Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.37 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita mendapati sebuah rumah separuh kekal dua tingkat terbakar.

“Kita terus menjalankan operasi pemadaman kebakaran sehingga api dapat dikawal sepenuhnya,” katanya pada Sabtu.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Ujarnya, punca kebakaran sedang dalam siasatan.