SIEM REAP, Kemboja: Kesemua 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan daripada Penjara Wilayah Banteay Meanchey di sini akan tiba di Kuching, jam 2 petang ini, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga, Wanita dan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, perkembangan mutakhir itu amat melegakan setelah urusan kebenaran laluan penerbangan berjaya diselesaikan semalam.

Sebelum itu, masalah kebenaran laluan menjadi halangan terakhir yang menyebabkan jadual penerbangan dijangka ditunda pada Isnin.

Rombongan 53 orang termasuk lima wakil Kerajaan Sarawak dan media dijangka berlepas sekitar jam 10.00 pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seam Reap menggunakan pesawat sewaan JC International Airline.

Mereka akan tiba di hangar Hornbill Skyways sekitar jam 2.00 petang ini.

Daripada 47 mangsa, 33 adalah dari Kuching, enam Sibu, dan satu Sarikei manakala tiga lagi rakyat Sabah dan empat Semenanjung.

“Mereka akan berlepas dari Hotel Pyramid di Banteay Mancheay sekitar jam 5.00 pagi waktu tempatan, untuk perjalanan dua jam ke Seam Reap.

Kesemua mangsa scam pekerjaan ini dicekup di sebuah rumah banglo di kota Poipet di sini pada 11 Disember lalu, bersama-sama lapan rakyat China.

Mereka pergi ke Kemboja kerana dijanjikan perkhidmatan pekerjaan oleh ejen yang menawarkan habuan USD1,200 sebulan.

Mereka meringkuk di dalam penjara sejak tarikh tersebut sebelum dimaklumkan kepada Kerajaan Malaysia.

Rundingan kemudian dilakukan secara senyap oleh Wisma Putra, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Kemboja secara tertutup sebagai mematuhi protokol diplomatik antarabangsa.

Pada Jumaat lalu, setelah mendapat taklimat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja Datuk Dr Otsman Hassan, Perdana Menteri Hun Sen bersetuju membebaskan kesemua tahanan serta-merta.

Mereka kemudian dibebaskan pada jam 6.30 petang sebelum ditempatkan di Hotel Pyramid di sini, sementara menunggu dokumen perjalanan mereka disiapkan.

Untuk rekod, seorang daripada mereka kurang sihat.

(wartawan New Sarawak Tribune yang membuat laporan khas dari Kemboja)