SIEM REAP: Kesemua 40 bekas tahanan yang menjadi mangsa ‘job scam’ atau penipuan pekerjaan di Kemboja akan dikumpulkan selepas ini bagi berkongsi pengalaman mereka kepada golongan muda di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia penting bagi mengelakkan tragedi berulang dan lebih ramai tertipu akibat perbuatan tidak bertanggungjawab sindiket-sindiket terbabit.

“Ini pengalaman yang amat berharga yang membuka mata banyak pihak.

“Bukan sahaja mereka terpaksa bergelut dengan situasi di negara orang seorang diri, malah mereka juga berhadapan dengan bahaya lain, sebagai mangsa pemerdagangan manusia, misalnya.

Fatimah berkata, pihaknya memandang serius perkembangan ini dan merancang program khas untuk menanganinya.

Katanya, sebaik urusan pemghantaran pulang selesai, termasuk proses rawatan kepada dua mangsa yang berhadapan masalah kesihatan, pihaknya akan menyerah urusan semua mangsa ini kepada Polis Diraja Malaysia.

“Percakapan mereka perlu direkod pihak polis bagi menyiasat dalang di sebalik sindiket tersebut,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, di sini sejurus sebelum penerbangan pulang ke Kuching.

Sebelum itu, beliau berkesempatan menghantar empat mangsa dari Semenanjung Malaysia dengan menggunakan pesawat Air Asia pada jam 8.30 pagi.

Fatimah turut menasihati ibu bapa agar mengawasi anak-anak mereka agar tidak mengulangi pengalaman duka ini.

Sejumlah 40 mangsa dari Sarawak, dengan kebanyakannya dari Kuching terpedaya dengan sindiket pekerjaan yang menjanjikan habuan lumayan dalam bentuk dolar Amerika untuk bekerja di Kemboja.

Mereka ditangkap dan ditahan polis Kemboja dalam satu operasi khas pada 11 Disember lalu, selepas pihak polis mengesahkan maklumat risikan.