LIMBANG: Sukan bukan sahaja memberikan kesan yang positif kepada kesihatan, tetapi juga mampu memupuk perpaduan yang terjalin di dalam kehidupan pelbagai kaum.

Ahli Parlimen Limbang YB Hasbi bin Habibollah berkata sukan turut memperkukuhkan perpaduan yang sedia ada khususnya kita yang hidup dalam kepelbagai kaum dan budaya.

“Sukan memupuk minda dan fizikal yang sihat. Selain itu, aktiviti sukan juga mampu memupuk semangat perpaduan, sekaligus mengeratkan silaturahim dan muhibbah.

“Juga, membina negara bangsa, melahirkan modal insan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan, dasar satu murid, satu sukan,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Kali Ke-49 Majlis Sukan Sekolah Rendah di Kompleks Sukan Limbang.

Pada majlis itu seramai 497 orang pelajar daripada 35 buah sekolah rendah di Daerah Limbang mengambil bahagian yang diadakan setiap tahun.

Dalam pada itu, sukan perlu juga diseimbangkan dengan kecemerlangan akademik sebagai syarat kepada pembentukan sahsiah yang baik.

“Selain sukan, setiap pelajar turut memberikan perhatian kepada kecemerlangan dalam akademik demi masa depan.

“Kedua-dua perkara ini perlu diseimbangkan bagi membolehkan sesorang murid itu mempunyai pakej yang lengkap untuk berjaya,” tambahnya.

Pada majlis itu, Hasbi turut mengumumkan peruntukan RM15,000 kepada Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Daerah Limbang sebagai tanda sokongan terhadap usaha untuk menaikkan sukan di Daerah Limbang.

Beliau juga turut mengumumkan RM10,000 untuk Kejohanan Olahraga MSSR Peringkat Bahagian Limbang yang dijangka akan diadakan pada bulan April nanti.