KUCHING: Seorang ahli politik dan pemimpin seharusnya mempunyai kelayakan akademik yang diiktiraf, bukan seperti seperti 10 atau 20 tahun yang lepas.

Penganalisis politik, Dick Lembang Dugun berkata, Malaysia kini bergerak maju ke hadapan sejajar dengan perubahan teknologi dan tuntutan masa kini memerlukan seorang pemimpin yang berpengetahuan tinggi.

Jelasnya, ahli-ahli politik yang dilantik menjadi pemimpin negara perlu mempunyai kelayakan akdemik dan sijil akademik tersebut mestilah yang diiktiraf.

“Kalau 10 atau 20 tahun yang lepas, masyarakat kita mungkin kurang pendedahan mengenai kepentingan seorang pemimpin mempunyai pendidikan tinggi.

“Dahulu, kita sering mendengar jika anda mampu berkhidmat dan sentiasa bersama dengan rakyat, anda akan diterima … tetapi sekarang, masyarakat kita sudah mampu berfikir di mana mereka mengkritik dan memberi pandangan mereka terhadap sesuatu perkara,” ujarnya.

Beliau menambah, sekiranya ahli politik itu mempunyai berpendidikan tinggi dan berpengalaman dalam bidang politik ia adalah satu bonus kepada pemimpin berkenaan.

“Bagi saya, bidang politik adalah antara bidang profesional. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen boleh dianggap sebagai bidang profesional, jadi mereka harus mempunyai minimum sijil diploma kalau lebih baik, mereka mempunyai kelayakan PhD.

“Kenapa saya pentingkan kelayakan akdemik sebab mereka ini pembuat polisi yang mengatur strategik negara dan bagaimana acuan arah tuju pembangunan negara dibentuk,” tegasnya.

Dalam pada itu beliau rasa terkejut kerana ada seorang pemimpin negara dilaporkan memalsukan sijil kelayakan akademik yang dimiliki.

“Sekiranya anda memaklumkan kepada semua orang anda mempunyai mana-mana kelayakan akademik seperti ijazah, sarjana, PhD atau seumpamanya tetapi padahal anda tidak pernah pun menjejak walaupun seminit atau sehari ke universiti.

“Jadi ini adalah palsu semata-mata, jadi sekarang ini kita boleh dengar ramai boleh ‘membeli’ sijil akademik ini dengan sekelip mata,” katanya semasa ditemubual oleh Sarawak Voice baru-baru ini.

Dick juga pensyarah dalam bidang politik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UNIMAS menambah, banyak universiti kini menawarkan pendidikan dalam talian yang mungkin tidak sah sijil pendidikan.

“Isunya kini adalah etika dan sebagai seorang pemimpin anda harus menunjukkan etika yang baik. Jika seorang pemimpin tidak mempunyai etika yang sepatutnya, bagaimana hendak memimpin rakyat? Itu yang perlu dipersoalkan,” katanya.

Pada 4 Februari lepas, seluruh rakyat Malaysia tergempar dengan isu mengenai laporan seorang ahli politik yang juga timbalan menteri didakwa memalsukan sijil kelayakan akademiknya.

Pendedahan mengenai isu pemalsuan sijil akademik itu mula dibangkitkan oleh semua media perdana apabila aktivis politik Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Zulfahan Pagon yang mendakwa program pengajian jarak jauh (PJJ) bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya itu tidak wujud di Universiti Cambridge.

Pemilik akaun Facebook Zulfahan Pagon itu memuat naik status berkenaan pada 3 Feb lepas.