LUNDU: Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani hari ini mengangkat sumpah sebagai Pengerusi Majlis Daerah Lundu Ke-22, di Dewan Masyarakat Daerah Lundu.

Majlis itu disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N3 Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu dan ADUN N1 Opar, Datuk Ranum Mina.

Dalam ucapan ringkas, Jamilah yakin ciri-ciri kepemimpinan pegawai baharu itu mampu membawa pembaharuan di Lundu selain dapat bekerjasama dengan Ahli-Ahli Majlis dan pegawai di Majlis Daerah Lundu.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Lundu kerana menjadi salah sebuah agensi kerajaan yang aktif dan bertanggungjawab membantu meningkatkan komuniti di daerah Lundu selari dengan tanda pagar (hashtag#) beliau ‘Jangan Ceridak’.

Justeru, beliau berharap mendapat kerjasama daripada Pengerusi Majlis Daerah Lundu yang baharu dan Ahli-Ahli Majlis yang lain untuk menjadikan Lundu sebagai tarikan pelancong.

Selain Telok Melano, Lundu turut mempunyai tarikan lain seperti pantai Pugu, pantai Sematan, Pandan dan Siar di samping empat taman negara dan air terjun di Sebat dan Jangkar.