LIMBANG: Kedudukan Limbang yang bersebelahan dengan negara Brunei, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memberi kelebihan kepada bahagian yang terletak di utara Sarawak untuk mempromosikan produk pelancongan sekaligus menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Limbang.

Ini sekaligus mampu untuk memenuhi sebahagian sasaran Kerajaan Sarawak yang menyasarkan 5 juta pelancong datang ke Sarawak tahun ini sempena Tahun Melawat Sarawak 2019.

Timbalan Residen Bahagian Limbang Hj Sebi bin Hj Abang berkata adalah tidak mustahil Kerajaan Sarawak mampu menarik pelancong ke Sarawak pada tahun ini berdasarkan polisi negeri ini yang mengalu-alukan kedatangan pelancong.

“Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang bagi memenuhi keperluan pelancong untuk datang ke Sarawak.

“Selain polisi kerajaan, keadaan semula jadi yang menjanjikan pengalaman menarik dan baru kepada pelancong mampu menjadi sandaran kepada Tahun Melawat Sarawak 2019 ini,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Program Jerayawara Visit Sarawak Campaign di Dewan Kampung Bunga Raya Limbang.

Di Limbang misalnya, kepelbagaian etnik seperti suku kaum Orang Ulu dan budaya mampu menarik perhatian pelancong yang mahukan kelainan.

“Di sini, pelancong boleh menyaksikan pesta berasaskan etnik seperti Pesta Bebulang masyarakat Bisaya, Pesta Badudun dan Lumba Kerbau masyarakat Melayu, Pesta Makan Tahun masyarakat Kedayan, Pesta Medamit masyarakat Iban dan Pesta Irau Aco masyarakat Lun Bawang.

“Begitu juga dengan produk yang boleh menggamit kedatangan pelancong dalam merasai kenikmatan semula jadi seperti Taman Negara Gunung Buda, Lumpur Bebuak Meritam, Merarap Hot Spring di Lawas, Monyet Belanda di Kampung Patiambun, Homestay di Kuala Mendalam, Tanah Tinggi Ba’kelalan dan lain-lain lagi yang berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya.