KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan sebarang desas-desus mengenai dakwaan berlakunya rombakan kabinet negeri ini.

Tegasnya, tiada sebarang perbincangan mengenai rombakan kabinet pada Majlis Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini.

“Kita tidak membincangkan rombakan kabinet pada mesyuarat sebentar tadi,” katanya ketika ditanya berkaitan perkara terbabit selepas mempengerusikan mesyuarat MKT di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini.

Abang Johari turut melahirkan rasa terima.kasih kepada penduduk Sarawak kerana menyambut baiki Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas dilancarkan tiga bulan lalu.

“Malah, kita banyak menerima permintaan peringkat akar umbi untuk bersama memperkenalkan logo GPS dan menyambut baik sembilan tonggak utama parti induk berkenaan.

“Kita juga membincangkan mengenai rancangan ekonomi yang dilancarkan di bawah Belanjawan 2019 hingga 2020 sebelum Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) berakhir,” jelasnya.

Katanya, kerajaan di bawah GPS akan terus komited untuk menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik kepada penduduk di negeri ini.

“Kita juga akan meneruskan pemberian dana demi kebajikan rakyat Sarawak seperti subsidi tiket penerbangan balik pelajar di Semenanjung Malaysia pada musim perayaan.

“Pemberian insentif sebanyak RM1,000 untuk setiap bayi lahir di Sarawak bermula tahun ini menerusi ‘Endowment Fund’ turut mendapat sambutan menggalakkan,” ujarnya.

Abang Johari turut memberitahu yang perbincangan sedang dijalankan dalam Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi terdapat empat perkara tidak harus dibincangkan.

Katanya, empat perkara terbabit ialah kuasa autonomi imigresen, hak untuk menguatkuasakan undang-undang negeri mengikut perlembagaan persekutuan, perlindungan sempadan negeri dan kedaulatan atas tanah dan hasil-hasilnya di dalam sempadan negeri ini.