KUCHING: Kerajaan Negeri menanggung semua kos membawa balik 40 tahanan rakyat Sarawak di Kemboja yang dijangka tiba di Kuching esok ataupun lusa.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini kerajaan negeri berbincang untuk menyediakan kemudahan supaya semua tahanan dari Sarawak dibawa pulang sedang dijalankan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra yang bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam usaha membebaskan tahanan terbabit.

“Kita bekerja secara diam-diam kerana menghormati protokal dua kerajaan yang perlu patuh mengenai dasar yang akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB di sini, pagi tadi.

Abang Johari sekali lagi melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen yang membenarkan tahanan dibebaskan kerana mereka menjadi mangsa penipuan.

Ketika ditanya mengenai proses membawa balik mangsa yang dikaitkan dengan tuntutan politik, Abang Johari berkata, terpulang kepada mana-mana pihak untuk membuat tuntutan.

“Kita tidak kisah sekira adanya parti tertentu mengaku mereka terlibat atau sebaliknya kerana kita lakukan atas dasar kemanusiaan,” tegasnya.