FLORIDA: Pelari pecut Jamaica, Usain Bolt, 32, pemegang rekod manusia terpantas dunia mencatatkan masa pecutan 9.58 saat bagi acara 100 meter melalui rekod dicetak di Berlin, Jerman 2009.

Di Florida, Amerika Syarikat muncul bintang cilik mengejutkan banyak pihak, apabila budak lelaki berusia 7 tahun berjaya mencatat masa pecutan
13.48 saat untuk saingan acara 100 meter.

Budak lelaki sado ini —Rudolph ‘Blaze’ Ingram dipercayai mencetak rekod pelari kanak-kanak terpantas dunia.

Menurut BBC, pada Ogos 2018, ayahnya yang juga jurulatih anaknya melalui Instagram mengongsi klip video anaknya mencatat rekod masa pecutan 14.59 saat ketika itu.

Ternyata ayahnya berbangga dengan pencapaian anaknya, “saya bangga menyatakan anak saya mungkin kanak-kanak 7 tahun terpantas dunia.

“Semua dilakukan ketika latihan membuahkan hasil,” katanya.

Blaze adalah pelajar pintar di Sekolah Rendah Cahoon di Tampa, Florida dan model kecergasan di Instagram mempunyai seramai 301,000 pengikut di laman sosial itu.