MIRI: Pengenalan cukai 5 peratus ke atas produk petroleum bermula Januari tahun ini akan menjana pulangan sebanyak RM3.9 bilion yang akan digunakan untuk membangunkan Sarawak.

YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg berkata pendapatan menerusi cukai jualan produk petroleum ini akan digunakan untuk membangunkan negeri ini termasuk bahagian Miri.

“Kerajaan Sarawak akan terus merancakkan pembangunan negeri ini dengan mencari beberapa mekanisme baru.

“Aliran pendapatan baru Kerajaan Sarawak ini adalah alternatif kepada menyokong program pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baru Cina Bersama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri, malam tadi.

Abang Zohari katanya, Kerajaan Sarawak turut melahirkan komitmen yang tinggi dalam memastikan setiap rakyat dalam merasai prasarana asas.

“Kita akan membangunkan jalan pesisir termasuk membina jambatan yang sebelum ini telah dibatalkan Kerajaan Persekutuan.

“Kita juga akan membangunkan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air di beberapa kawasan yang sebelum ini menghadapi masalah ini.

“Kerajaan akan berusaha keras untuk membangunkan pembangun ekonomi serta infrastruktur negeri,” katanya.

Sempena Tahun Melawat Sarawak 2019, Kerajaan Sarawak akan terus memperhebatkan sektor pelancongan dengan memperkenalkan penerbangan terus dari Sarawak.

Abang Zohari turut mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membiayai projek pembinaan bangunan baru Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Miri.