KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah membantu memeriksa dokumen perjalanan 47 rakyat Malaysia termasuk 44 warga Sarawak bersama-sama Imigresen Kemboja dan Kedutaan Malaysia di Beantey Mancheay, Kemboja hari ini.

Di Facebook beliau Fatimah menulis, langkah itu dilakukan sebelum penyerahan warga Malaysia terbabit oleh Menteri Kanan Kemboja dan Menteri Tugas Khas HE Datuk Othsman kepada Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Sarawak yang diwakili oleh beliau.

Sebelum ini, laporan wartawan Sarawak Natasha Jee yang mengikuti secara dekat peristiwa tersebut di Phnom Penh menyebut Fatimah bercakap dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu pembebasan tahanan terbabit 4.30 petang Jumaat.

Laporan terkini hari ini menyebut Kerajaan Sarawak menanggung semua kos membawa balik 40 tahanan rakyat Sarawak di Kemboja yang dijangka tiba di Kuching esok atau Isnin.

Abang Johari berkata, ketika ini Kerajaan Sarawak berbincang menyediakan kemudahan supaya semua tahanan dari Sarawak dibawa pulang.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra yang bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam usaha membebaskan tahanan terbabit.

“Kita bekerja secara diam-diam kerana menghormati protokal dua kerajaan yang perlu patuh mengenai dasar yang akhirnya membuahkan hasil,” kata Abang Johari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB pagi tadi.

Abang Johari sekali lagi melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen yang membenarkan tahanan dibebaskan kerana mereka menjadi mangsa penipuan.