SERIAN: Belia di Serian disarankan menggunakan kemudahan Pusat Rekreasi SABERKAS ini dengan sebaiknya dalam melahirkan lebih ramai belia yang berwawasan sekaligus menghindarkan diri dari gejala sosial yang tidak baik.

Menteri Pelancongan Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sarawak YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata belia adalah pelapis kepada kepimpinan sedia ada dan sewajarnya mereka ini perlu mempunyai wawasan dalam bersama memajukan negeri tercinta ini.

“Pada hari ini, peranan belia amat dititikberatkan dan mengharapkan golongan ini dapat memberikan sumbangan dalam memajukan Sarawak.

“Seperti pusat rekreasi ini, belia perlu memanfaatkannya supaya ianya menjadi wadah kepada pembentukan sahsiah yang baik dan menjadi pemangkin kepada lahirnya pemimpin masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Perasmian Pusat Rekreasi Saberkas Cawangan Kedup.

Kerajaan Sarawak tidak pernah melupakan peranan dan tanggungjawab belia dalam turut serta terhadap agenda pembangunan negeri.

“Untuk itu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.7 juta termasuk SABERKAS bagi mengelola dan mengadakan aktiviti untuk belia di Sarawak,” tambahnya.

Pada majlis itu, Karim meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada SABERKAS Cawangan Kedup bagi mengelola dan mengadakan program belia di Serian.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup YB Martin Ben mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Serian kerana meluluskan bangunan kuarters terbiar kepada SABERKAS Cawangan Kedup untuk dijadikan Pusat Rekreasi SABERKAS pada hari ini.

“Pusat ini merupakan sebuah pusat untuk golongan belia mengadakan pertemuan seperti kursus, bengkel, aktiviti riadah dan sukan dalaman.

“Ianya terletak di Taman Danu Serian dan terbuka kepada semua golongan belia di Serian,” katanya.

Mengenai SABERKAS Kedup, sehingga kini kita telah mempunyai 10 unit di beberapa buah kampung dan mempunyai 700 lebih ahli yang berdaftar dengan SABERKAS.